Sabtu, April 28, 2012

Titipan ke-23: Sebuah Memoir: Kuasa Kata dari lisan mengalir ke lautan aksara

Zaman kanak-kanak melakarkan dan memahatkan kenangan yang sukar dipadamkan daripada ingatan. Maka itu, orang dewasa dituntut agar merancang hanya yang baik-baik untuk mereka.



Tugas ini besar, besarlah lagi cabarannya.
Tanggungjawab ini menggugah perasaan,
tergugahlah jua fikiran kita.
 

Dalam Sebuah Memoir; Kuasa Kata dari lisan mengalir ke lautan aksara, saya bermula dengan kanak-kanak hingga ke era pesaraan. Setelah 34 tahun 6 bulan 28 hari bertugas sebagai pendidik, saya terpanggil untuk berkongsi sekelumit ilmu dan pengalaman yang dipinjamkan-Nya. Tambahan pula, Allah menentukan, saya juga berkarya.

Mendidik dan berkarya tepu persamaan
kedua-dua bidang ini saling melengkapi dan
memperindah peranan dan kehidupan!

Saya tidak mungkin memutar kembali masa lampau untuk dikendalikan dengan lebih baik. Namun, saya mungkin berupaya untuk melontarkan idea agar yang sudi membaca dan mencerna beroleh sesuatu yang bermakna, insya-Allah.

Daripada hal dan karenah kanak-kanak dalam kalangan keluarga, saya menyelusuri kanak-kanak di sekolah rendah yang saya gulati selama lapan tahun. Kemudian, pengalaman tersebut saya olah untuk menangani remaja di sekolah menengah dan di maktab perguruan. Rezeki menyebelahi saya. Peluang untuk merasakan denyut nadi dan nafas remaja dan dewasa dalam kalangan masyarakat penulis mendidik saya agar peka dan prihatin akan pengisian program untuk mereka.

Perjalanan ini sesungguhnya semerbak mewangi
meski beronak duri.
Saya melewatinya dengan debar dan getar nikmat
kerana wadahnya bahasa dan sastera keramat!

Saya persembahkan karya terbaharu ini
ke takta rasa dan bicara kalian nan budiman.
Teriring doa dan harapan
ada yang dapat dimanfaatkan,
sesiapa yang tertempias, maaf dipinta.

Alhamdulillah.
Terima kasih, semua.

Mahaya Mohd.Yassin
Sabtu, 6 Jamadilakhir 1433/28 April 2012

Selasa, April 10, 2012

Titipan ke-22: Bermula dengan Kanak-kanak (1)

Pendidikan untuk generasi baharu sebenar-benarnya bermula lebih awal. Ketika pertama-tama pasangan teruna dara berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga bahagia, pendidikan bakal zuriat sudah dirancang mengikut syariat agama.

Bermula dari situlah diteliti dan dihalusi setiap langkah agar hasrat menjadi hamba dan khalifah-Nya, dapat dilunasi dengan bijaksana dan mengikut landasan Islam.

Anak ibarat kain putih yang bersih. Mereka perlu kita didik dan asuh agar mengenal dan mengetahui hakikat ketuhanan sebagai asas tauhid yang kukuh. Sebelum berumur tujuh tahun, mereka penyerap segala-sagala yang diterapkan oleh kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga, masyarakat serta persekitaran mereka. Lantas, jika aura dan aroma alam di seputar mereka positif, optimis dengan hala tuju duniawi dan ukhrawi yang pasti, ke situlah mereka pergi, insya-Allah.

Daripada pemikiran inilah terjana idea untuk melaksanakan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Puisi Kanak-kanak, 7 April 2012 yang lalu, mengikut keupayaan yang dipinjamkan-Nya kepada saya. Terima kasih, ya Rabbi...

Selasa, 18 Jamadilawal 1433/10 April 2012

Rabu, April 04, 2012

Titipan ke-21: Mesyuarat GAPENA ke-41 & Hari Sastera Nasional XV

Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, GAPENA, persatuan-persatuan penulis Melaka, pemakalah, tamu, peserta, petugas dan seluruh warga Melaka yang menjayakan Mesyuarat Agung GAPENA ke-41 (29 Mac -30 Mac) dan Hadiah Sastera Nasional XV (31 Mac - 1 April).

Melaka yang memang mencipta sejarahnya yang tersendiri termasuklah moto atau cogan kata negerinya yang luar biasa - "Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia", "Melaka Bandar Raya Warisan Dunia, UNESCO" dan "Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau".

Kedua-dua acara turut mencatat sejarah kerana berlangsung secara berurutan. Mesyuarat Agung GAPENA menyaksikan kepimpinannya beralih tangan. Ketua Satu yang baharu menggantikan tokoh berwibawa yang banyak berjasa, Tan Sri Ismail Husin ialah Datuk Wira Abdul Latif Bakar. Ketua Stua ialah datuk Zainal Abidin Borhan, Setiausaha Satu Borhan Md. Zain, Setiausaha Dua Osman Ibrahim, Bendahari Dr. Hashim Ismail. Jawatankuasa yang terpilih ialah Datuk Samad Maharuddin, Dr, Salleh Rahamad, Jasni Mat Lani, Datuk Mansor Abdullah dan Datuk Zainal Rashid Zahidi.

Hari Sastera kali ini dalam suasana yang gilang-gemilang, tepu dengan sesi percambahan fikiran dan gugahan perasaan. Majlis bacaan Yasin, perasmian dan penutupan, pembentangan kertas kerja, Pengucapan Puisi, Kenduri Sastera, termasuk menelusuri Sungai Melaka dan kenduri ikan bakar di Umbai.

Sepanjang perkampungan itu, akhbar Melaka Hari ini merakamkan kegiatan tersebut dengan meluas. Lebih 300 orang peserta dari Thailand, Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia sendiri pulang dengan fikiran dan kenangan untuk dicerna dengan matang. Apakah kesannya?

Mampukah majlis tersebut membuka mata pihak-pihak tertentu agar memartabatkan bahasa dan sastera dengan bersungguh-sungguh, demi pembinaan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berjati diri? Tercabarkan pemikiran dan semangat golongan pelapis untuk meneruskan perjuangan ini agar terbina peradaban yang dihasratkan? Adakah 14 resolusi yang dikemukakan oleh GAPENA mendapat perhatian kerajaan dan pihak berwajib? Dan seribu lagi persoalan lain yang menerjah. Sesungguhnya, perjuangan baru bermula...