Jumaat, Disember 31, 2010

Imbauan Ke-10: Pendidikan Ilmu Alam

Subhanallah! Buat pertama kalinya, hari ini Jumaat, 25 Muharram 1432 bersamaan 31 Disember 2010 saya menyaksikan salju di Kusatsu, Jepun. Sejak jam 9.30 pagi, salju turun dengan santun. Mula-mula gerimis salju gugur berselirat di tiup angin ke sini sana. Sejam kemudian, gerimis beransur berat dan lebat menghantar dingin.
Anak-anak jiran dengan keluarga masing-masing keluar menikmati kejadian Allah. Riangnya mereka, meski saban tahun pengalaman bermain salju tidak serupa.

Dari jendela rumah...

Segera terimbau ketika saya masih kanak-kanak. Pada musim-musim hujan Abah dan Emak 'membenarkan' kami bermain hujan. Kami bersama-sama membersihkan tempayan air, memberus simen dan longkang. Dan tidak lupa kami adik-beradik bermain tarikh upih di tengah-tengah air yang menggolek di halaman rumah.

Anak-anak jiran mula keluar bermain salju.

Sebelum dan seleps itu, Abah dan Emak bercerita darihal awan, mega, mendung, hujan, gerimis, renyai, rintik-rintik, lebat, hujan angin, guruh, kilat, kilat sabung-menyabung, petir, dentuman petir, panahan petir, halilintar, pelangi dan macam-macam lagi...

Pemandangan di jalan raya di hadapan rumah.

Adakah cucunda-cucundaku di Malaysia masih berpeluang belajar Pendidikan Ilmu Alam seperti itu?

Kenderaan di hadapan rumah yang dilitupi salju.

Surah Al-Mulk (15) yang bermaksud: Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah rezeki yang dikurniakan Allah. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmat-Nya dan takutlah akan kemurkaan-Nya.)

Selasa, Disember 28, 2010

Imbauan Kesembilan: Mengantarabangsakan Bahasa dan Sastera Negara

Sempena cuti hujung tahun, saya bersama-sama anak-anak dan cucu-cucu menumpang semangkok bersesak-sesak dengan rakyat Jepun ke Disneyland, Tokyo. Selain tepu hiburan untuk semua khasnya kanak-kanak, kompleks ini sarat bahan untuk difikirkan bersama-sama.

Ketika berada di 'It's A Small World', pelancong dibawa melayari alam fantasi dengan menaiki bot khas. Laluan yang melenggang lembut melalui saluran yang warna-warni. amat mempersonakan. Reka letak dan gaya persembahan peristiwa yang diangkat daripada cerita-cerita rakyat yang tersohor dari seluruh pelosok dunia penuh daya kreativiti dan inovasi. Watak, busana, lagu dan latar yang terpilih dan berkaitan, hidup 'bergerak dan bernafas' meraikan tamu.
Oleh sebab, perayaan Hari Natal sedang berlangsung, kesemua watak turut menyanyikan lagu perayaan, tetapi di dalam bahasa Jepun dan Inggeris.

Sekilas saya diterjah beberapa soalan.
Di mana, di Malaysia dapat kita baca, tonton, dengari sekali gus menghayati serta mengagumi bahasa dan sastera kita seperti ini?
Di mana kita dapat memperkenalkan watak-watak cerita rakyat kita yang termasyhur? (Di perpustakaan pun, belum pasti. Jika pun ada, masih tersembunyi dalam buku yang 'tidak menyelerakan' hati nurani kanak-kanak. MMY)
Di mana dapat kita perdengarkan bahasa kita dilafazkan dengan rasa kecintaan dan kekaguman yang membanggakan?

Bahasa dan sastera kita di lopaknya sendiri, bagaimana?

Kita mesti bersatu dalam perjuangan mengantarabangsakan bahasa dan sastera negara kita!

Selamat berjuang dan beribadah.

Selasa, Disember 21, 2010

Imbauan Kelapan:Mengasah Kreativiti

Pada musim cuti ibu bapa ada banyak waktu untuk bersama-sama anak-anak. Kita dapat saling berbincang dan berhujah untuk menzahirkan fikiran dan kegeraman. Kita dapat saling meluahkan rasa kasih sayang atau hasrat nan terpendam. Kita dapat saling mempelajari kehebatan dan kekurangan diri, untuk memudian bertindak dengan lebih cendekia dan islami.

Ingatlah, tidak akan datang lagi masa seperti itu untuk kali keduanya!

Justeru, dengan sabar dan reda kita hadapi karenah mereka sebagai pendidik utama dan pertama yang amat unggul.

Pada musim cuti juga anak-anak berganda-ganda semangat, tenaga dan keinginan mereka untuk mencuba yang baharu, aneh dan mengujakan. Malah saya fikir, ketika inilah mereka amat kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Saya turunkan sedikit pengalaman yang diharap bermanfaat, dalam konteks ini.
Ketika kami menyewa sebuah rumah teres pada sekitar tahun 1978, tiga orang anak kami berusia dalam lingkungan dua hingga enam tahun.

Suatu hari, sebaik kami pulang dari sekolah, tuan rumah datang bercekak pinggang di pintu pagar. "Cikgu, nanti nak pindah, cat balik dinding rumah ni. Tengok! Habis diconteng-conteng dek anak-anak cikgu..."

Rupa-rupanya memang benar, bukan sahaja dinding di bahagian hadapan rumah yang penuh lukisan 'abstrak' dan 'maklumat aneh', dinding di ruang tamu pun dah 'menjadi'.

Setelah berjanji untuk mematuhi arahannya, tuan rumah pun beredar.
Saya dan suami mulanya terkejut dan geram juga. Namun apabila melihatkan tiga beradik sedang tidur saling berpelukan, kami serentak tertawa berderai-derai.
Kami segera berdoa agar diberikan-Nya petunjuk dan rahmat.
Ingin tahu apa yang kami lakukan?

i) Kami belikan kertas-kertas lukisan dan alat tulis lain untuk mereka 'pindahkan' hasil di dinding sebaik mungkin ke atas kertas tersebut,

ii) Karya yang terbaik kami hantarkan kepada Editor majalah dan akhbar kanak-kanak. (Alhamdulillah, lukisan anak yang sulung pernah menghiasi kulit Dewan Pelajar pada tahun 1979),

iii) Lukisan-lukisan yang sudah dipindahkan kami pamerkan pada sudut khas di ruang tamu. Setiap masa terluang, kami bimbing mereka memperkatakan kelebihan dan keindahan karya serta mengaitkan dengan cita-cita dan harapan mereka.Kemahiran berbahasa yang empat (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) kami manipulasi daripada ciptaan mereka sendiri,

iv) Kami ambil gambar karya asli di dinding untuk dokumentasi,

v) Kami bersama-sama anak-anak mengecat dinding dengan rasa reda dan puas. Kami titipkan, "Bagus! Cantik lukisan-lukisan ni, Tapi semua perkara dan benda ada tempatnya yang tersendiri. Dinding ini milik tuan rumah."

vi) Sebagai hadiah, kami melanggan majalah dan akhbar kanak-kanak untuk mereka bertiga, atas nama mereka. Ruangan khas untuk mereka menumpahkan dan mengasah kreativiti tepu dan berbaloi.

Nasihat Saidina Ali Ibni Thalib 'Mengajar adalah belajar.'
Dan kata pujangga 'Dunia ciptaan Tuhan ini ialah madrasah. Kitalah pelajarnya.'

Salam takzim.

Rabu, November 24, 2010

Imbauan Ketujuh: Riang Ria Berbahasa

Musim cuti kembali lagi. Aduhai, seronoknya dapat bersama-sama anak-anak! Inilah peluang dan ruang untuk kita membimbing mereka mengemas rumah, memasak, membasuh kereta, menyusun buku-buku di perpustakaan keluarga atau melancong bersama-sama. Pastinya segala kegiatan berlangsung dalam aura komunikasi dan interaksi yang ceria, dan bermakna. 'Bermakna' pada saya, anak-anak memperoleh banyak nilai murni yang tersalur melalui bahasa yang segar, santun dan berkualiti.

Mendidik anak-anak dalam kemahiran berbahasa kini, amat mencabar. Kita perlu 'berperang dan menentang' tarikan luar yang hebat dan memukau. Justeru, ketika bercutilah kita mengeksploitasi suasana tersebut sebaik dan semesra mungkin. Pengalaman saya (kira-kira 25 tahun) yang lalu ketika mendidik tiga orang putera, dapat dimurnikan dan difikir-fikirkan, mungkin.

i) Oleh sebab cuti kita ialah acara keluarga, maka kita dan anak-anak elok merancang pengisiannya bersama-sama. Galakkan mereka memberi cadangan serta sebab-sebab pemilihan. Bahaskan dengan sopan dalam suasana santai.

ii) Lebihkan kegiatan di luar rumah, seperti melawat muzium, ke taman tasik, ke perpustakaan, ke zoo, ke pusat beli-belah, menziarahi keluarga di kampung dan melancong ke tempat peranginan.

iii) Rancang kegiatan seputar rumah sesuatu yang menarik dan ada peluang untuk meningkatkan kemahiran berbahasa seperti menanam sayaur-sayuran dan membina buku skrap. Nanti, mereka akan menuliskan atau melakarkan perkembangan, pengamatan atau kesimpulan mereka sendiri.

iv) Bawa bersama-sama buku nota/catatan, alat tulis, pensil warna, kertas lukisan, berus dan warna, kertas surat khabar, botol air, tikar, radio serta keperluan lain.

v) Maklumkan sedari awal hasrat kita agar mereka memerhati, mengamati serta dapat menghimpunkan manfaat di sesuatu tempat. Misalnya, pandu dan galakkan mereka menggunakan deria dengar, deria lihat, deria sentuh, deria rasa dan deria hidu (mana-mana yang munasabah). Kesemua itu akan dituliskan/dicatatkan/dilukiskan di dalam buku masing-masing. Setiap hasil ditambah degan pernyataan perasaan masing-masing seadanya. Kenapa? Berikan mereka masa untuk berhujah sesama sendiri.

vi) Kita perlu pantau kegiatan mereka dengan kata-kata semangat atau dorongan agar mereka terasa kita bersungguh-sungguh inginkan mereka 'seronok sekali gus bijaksana'.

vii) Setelah selesai, setiap anak berpeluang menunjukkan dan menerangkan hasil masing-masing. Yang lain dipandu agar mengulas dan menambah dengan bahasa yang baik.

viii) Kita puji dan hargai semua usaha dengan ikhlas; berikan cenderamata berbentuk buku dan pamerkan di ruang Bacaan Keluarga selama sebulan. Sebagai kesimpulan, asuh mereka mengamati, mencintai serta mengagumi ciptaan Allah Yang Maha Perkasa. Alhamdulillah!

Semuanya berlangsung dalam suasana kejelekitan kasih sayang keluarga menerusi pengucapan bahasa dan bahasa badan yang bermakna. Teriring dengan usaha itu ialah penjanaan modal insan yang prihatin, bertolak ansur, berdaya saing, bertanggungjawab dan bersyukur. Insya-Allah!

Siapa hendak memulakannya? Siapa lagi? Kitalah, bonda mereka guru yang pertama dan utama!

Mungkin, para bonda di luar sana ada pengalaman lain yang ingin dikongsikan?

Selamat mencuba dan semoga berjaya. Selamat bercuti bersama-sama keluarga dalam riang ria dan limpahan rahmat daripada Yang Maha Esa. Amin.

Terima kasih.

Isnin, November 15, 2010

Imbauan Keenam

Kisah ibu muda yang prihatin akan perkembangan dan kemajuan bahasa anak kecilnya dalam Imbauan Kelima yang lalu, mendapat reaksi daripada seorang ibu yang juga prihatin akan hal ini. Pengirimnya itu tidak saya kenali. Pesan beliau "...tolong cadangkan langkah-langkah agar anak-anak saya tertarik untuk berbahasa dengan baik serta rajin pula membaca."

Alhamdulillah, beberapa panduan ada tersisip dalam rencana saya berjudul 'Perpustakaan dan Sastera Kanak-kanak' rencana fokus majalah Dewan Sastera keluaran September yang lalu. (Terima kasih Dewan Sastera kerana menyiarkan rencana tersebut.)

Sebagai tambahan dan sekadar berkongsi pengalaman, saya sarankan kita ibu harus juga ada, jika tidak banyak sekelumit pengetahuan asas tentang bahasa dan berbahasa. Oleh sebab ibu ialah pendidik pertama dan utama dalam sesebuah keluarga, ibu dijadikan teladan dan rujukan terpenting. Justeru, kita tidak ada pilihan kecuali menjadi lebih hebat, mahir dan berwibawa daripada anak-anak kita.

Kita sedia maklum bahawa kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis amat penting digabunjalinkan pada setiap masa. Oleh sebab itulah kita perlu 'ligat' demi perkembangan dan pemantapan bahasa anak-anak.

Contohnya pertama, kita perlu menuturkan bahasa yang betul dan santun agar mereka mendengar yang baik-biak sahaja.

Kedua, setiap kali mereka bertutur, kita puji jika bahasa mereka hampir betul serta dengan spontan baiki mana-mana yang kurang, Mungkin sebutan dan intonasinya kita perbaiki.

Ketiga, kita mesti meluangkan masa yang berkualiti untuk membaca bersama-sama mereka atau membacakan bahan/gambar kepada mereka. Pada kesempatan ini kita bersoal jawab, menyanyikan puisi, lakonkan episod menarik, memohon mereka bercerita versi mereka pula atau mendapatkan pandangan mereka.

Keempat, setelah berlisan galakkan mereka menulisakan pendapat, ungkapan yang dipilih, atau melukis apa-apa yang mereka suka berdasarkan bahan bacaan.

Sebenarnya, keempat-empat sesi ini ialah peluang keemasan untuk kita menyuburkan perasaan kasih sayang serta menyemai nilai-nilai murni dalam suasana yang kondusif. Keempat-empat kemahiran ini juga hendaknya dilangsungkan dalam keadaan santai tetapi meriah dan ada unsur kesungguhan.

Tempatnya?
Di rumah, di dalam kenderaan, di perpustakaan awam, di kedai buku, di kedai makan, di perhentian; bas mengikut kesesuaian.
Masanya?
Bila-bila yang sesuai, namun sebaik-baiknya setiap masa. Contohnya, sedang berehat, sebelum tidur, ketika menyuapkan makanan, ketika beriadah dan membeli-belah.
Bahan bacaan?
Pelbagai, menarik, berwarna-warni, yang baharu dan bermutu seperti buku besar (Big Book), jenis 'pop-up', majalah, risalah, iklan, akhbar, atlas, ensiklopedia dan kamus. (kamus umum, kamus bergambar, kamus sinonim, kamus peribahasa, kamus dwibahasa, tesaurus)

Nampak rumit, kompleks dan menyusahkan, bukan?
Ah, tidak. Anak-anak kita amat dahaga akan pengisian yang bermanfaat demi masa depan mereka yang lebih mencabar. Apabila kita bersiapa siaga dengan ilmu, kaedah dan pelaksanaan yang terancang dan bermatlamat, mereka pasti berasa seronok dan sekali gus bijaksana.

Pada minggu pertama atau bulan pertama kita terasa sedikit sukar, mungkin. Namun percayalah, apabila kita laksanakan secara istiqamah (tekal), bersungguh-sungguh dan ikhlas, kejayaannnya pasti kita tuai dengan rasa syukur dan nikmat yang tak terungkapkan. Bukankah kita pendidk pertama dan utama?

Bukankah kita juga ibu yang bertanggungjawab dan hebat?

Selamat melaksanakan peranan, tugas dan amanah!

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha!
Semoga pada hari yang penuh berkat ini, kita mendapat petunjuk dan rahmat daripada Dia Yang Maha Bijaksana. Amin.

Rabu, November 10, 2010

Imbauan Kelima

Alhamdulillah, saya antara insan yang amat bertuah kerana dapat muncul di corong radio meskipun bukan sebagai juruhebah. Sebenarnya, selepas Tingkatan V tersemat cita-cita untuk menjadi juruhebah. S.M Salim, Norlidar Saidi dan Azhar Haji Yusof ketika itu menjadi pujaan. Seronok rasanya 'bermain dengan kata-kata di ruang udara'. Dua pucuk surat permohonan dilayangkan ke Federal House. Apabila tiada balasan dan kesibukan kian menerpa, cita-cita itu tinggal kenang-kenangan belaka.

Namun, pada bulan Februari 1994, Hajah Cik Putri Kamariah Megat Ramli, Pengetua Maktab Perguruan Raja Melewar ketika itu menyambut pinangan Pengarah Radio Malaysia Negeri Sembilan untuk menyunting saya menjadi Karyawan Tamu di udara. Setinggi-tinggi terima kasih dikalungkan kepada kedua-dua ketua jabatan yang prihatian, bertanggungjawab serta proaktif ini. Sejak itu hingga kini, bermulalah rancangan 'Sari Bahasa: Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul' di stesen radio itu. Rancangan selama lebih kurang lima minit itu disiarkan pada pagi Isnin dan Selasa dan ulangan ialah pada Rabu dan Khamis

Sari Bahasa (SB) amat sederhana. Penerbitnya yang pertama, Puan Dahlia Atan "mohon segmen perbincangan santai khusus untuk para suri pendengar setia, darihal bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara kita. Contohnya, hal-hal kesalahan ejaan, ayat-ayat mudah, perbendaharaan kata yang baharu, hukum 'D-M' dan sebagainya.

Sebagai rancangan yang baharu, pelbagai reaksi sampai ke telinga saya. Banyak yang mempersoalkan SB, banyak juga yang menyatakan kegembiraan kerana tidak banyak sedikit dapat membantu anak-anak mereka. Pada saya semuanya perkara lumrah; ada yang suka dan ada pula yang sebaliknya. Semuanya saya cerna dengan reda. Semuanya membijaksanakan saya, insya-Allah.

Satu peristiwa yang mengesankan sekali gus terpahat kemas dalam ingatan terukir dua bulan selepas itu. Secara kebetulan, panggilan seseorang berjaya menembusi talian di Bilik Pengajian Melayu dan ketika itu saya ada di sana.

Setelah banyak kali memohon maaf kerana menggangu serta menyatakan sudah banyak kali membuat panggilan, sang pemanggil memperkenalkan diri. Beliau suri muda yang baru mempunyai seorang anak berusia dua tahun. Suaranya yang lunak dan santun membuatkan saya terus terpegun.

"Puan, anak saya tu tak pandai cakap langsung. Yang keluar hanya bunyi-bunyi yang entah apa-apa. Saya bimbang dia tak boleh bercakap bahasa Melayu..."
Saya teruja amat ketika menjawab, banyak berdasarkan pengalaman peribadi.
Justeru, nasihat saya seperti jua penegasan kepada diri sendiri. Antaranya "Gunakan bahasa Melayu sebaik mungkin ketika berkomunikasi. Jangan hiraukan bahasa pertuturannya. Yang penting kita kena sediakan persekitaran bahasa yang kondusif, bermakna dan mesra. Anak itu sedang mengamati persekitarannya untuk dipelajari dan diteladani...".

(Anak bongsu saya lambat bercakap. Ketika usianya dua tahun dua bulan beliau masih menyebut bunyi-bunyi 'ganjil'. Kami hampir membawanya ke doktor. Suatu hari, "Mak, adik dah lapar, ni." Apa lagi, gempar sebuah rumah apabila ayatnya dalam bahasa Melayu baku!)

"Saya nak datang belajar dengan Puan," suara lunak itu mengharap.
"Silakan. Boleh, boleh. Ada kenderaan, jemputlah ke rumah. Tinggal di mana, Puan?"
"Bangi, saya tumpang suami saya bila-bila dia ke Negeri Sembilan nanti, Puan."
"Boleh, boleh. Suami berniaga?" Pantas saya menyoal, tanpa berfikir panjang.
"Hmm, pemandu lori balak..."

Saya terkelu beberapa detik. Segera kalbu terasa kembang diapung syukur dan riang. Kalaulah semua suri begini peka, prihatin, mengambil bena dan bertanggungjawab akan bahasa Melayu anak-anak mereka...

Aduhai, tugas dan peranan saya sebenarnya semakin berat dan mencabar! Tanggungjawab saya kian menuntut iltizam dalam 'kebahagiaan' yang tidak terungkapkan!

Rabu, November 03, 2010

Imbauan Keempat

'Keramahan dan kemesraan' yang mekar di sukma ketika menggunakan bas, lebih semarak apabila berada di stesen kereta api di NMT ini.
Banyak pendapat mengatakan bahawa untuk bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain, kapal terbang lebih popular. Namun, perkhidmatan kereta api yang banyak, mudah, pantas dan menjangkau lebih banyak tempat, menjadikan keretapi amat disukai oleh masyarakat umum. Tambahan pula, kereta api laju atau 'shinkansen' di sini sudah tersohor dan menjadi kebanggaan rakyat Jepun. 'Shinkansen' bergerak selaju 350 kilometer sejam. Dari Tokyo ke Osaka (553 kilometer) hanya dua jam. Jika menggunakan kereta api biasa, perjalanan tersebut memakan masa 9 hingga 10 jam.
Walau bagaimanapun, budaya ramah dan mesra di dalam mana-mana keretapi tetap diutamakan. Budaya positif ini terasa sejajar dengan kehebatan stesen-stesen yang besar, canggih, bertingkat-tingkat, lengkap dengan pelbagai kemudahan serta pengendalian yang cekap berbantu teknologi terkini.
Di stesen-stesen yang sesak, cergas dan ligat, terutama pada masa puncak, riuh dengan pelbagai pengumuman. Ada makluman darihal ketibaan kereta api, jumlah koc, peruntukan koc untuk perokok dan bebas rokok, laluan-laluannya; kelewatan kereta api, sebab-sebabnya, jangkaan masa yang baharu; permohonan agar bersabar serta masa untuk bersiap siaga di tempat-tempat khas dengan beratur berdua-dua.
Banyak ketika, pengumuman secara langsung dan rakaman itu bertindan, apatah lagi ketika dua, tiga kereta api tiba serentak. Pengguna terpaksa lebih peka, teliti serta bertindak pantas agar tidak ketinggalan.
Sapaan yang mesra berterusan ke dalam koc, mempersilakan serta memaklumkan segala butir yang perlu diketahui oleh setiap penumpang. Makluman tetang destinasi, laluan, nasihat agar berhati-hati, koc yang bertandas dan bilik air dan sebagainya turut terpapar pada skrin pada bahagian atas setiap koc.
Pada masa-masa tertentu, pemandu keretapi juga mengingatkan hal-hal yang penting kembali. Dan seperti biasa, pada setiap perhentian setelah usai makluman utama, suara penghargaan dan ucapan terima kasih menjadi bekalan kepada penumpang. Semuanya menggunakan bahasa kebangsaan negara mereka. (Kereta api laju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan Kansai ada menggunakan dua, tiga ayat dalam bahasa Inggeris.)

Apakah kesan istimewa yang saya peroleh sebagai orang luar?

Saya berasa amat tersentuh akan 'keramahan dan kemesraan' yang mercup di mana-mana. Saya sedari amat, 'Lain padang lain belalang', 'Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung' dan yang utuh 'Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri'.
Namun, apabila mendengar, melihat dan merasakan sendiri aura, aroma dan nuansa yang terserlah daripada bangsa ini, saya sungguh terharu. Kepiluan menghunjam kalbu. Apakah nasib bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan negaraku?

Rasa kecintaan dan kekaguman akan bangsa, negara dan bahasa itu yang membezakan kita!

Selasa, November 02, 2010

Imbauan Ketiga

Saya berasa sangat teruja akan 'keramahan dan kemesraan' dua pengangkutan awam, iaitu bas dan kereta api di Negara Matahari Terbit (NMT) ini.
Saya perhatikan di bandar, pekan dan kawasan pinggiran bandar, beberapa syarikat bas beroperasi mengikut laluan dan jadual yang dipersetujui. Pada setiap perhentian, ada papan tanda syarikat masing-masing yang mempamerkan jadual ketibaan bas pada hari-hari biasa dan hujung minggu.
Sebaik sahaja bas berhenti, pintu bahagian belakang terbuka dan kita disambut dengan suara makluman automatik tentang destinasi dan laluan bas. Ketika beratur naik, kita ambil tiket nombor perhentian yang terjelir pada kotak di tepi pintu.
Pemandu bersendirian, tiada pemandu kedua atau pemungut tambang. Bagaimana kita hendak tahu jumlah tambng kita nanti?
Pada bahagian hadapan di dalam bas terdapat skrin elektronik yang memaparkan nombor perhentian serta jumlah tambangnya berdasarkan destinasi penumpang .
Selain itu, kerahaman dan kemesraan turut terserlah dengan tersedianya tempat duduk khas untuk warga emas, orang kurang upaya dan ibu mengandung. Memang benar-benar bas mesra pengguna...
Setelah bas bergerak, suara makluman mengumumkan pula perhentian yang akan disinggahi dalam perjalanan tersebut. Jika ada yang menekan loceng untuk berhenti, suara makluman akan segera mengumumkan bahawa sebentar lagi bas akan berhenti di perhentian terdekat.
Ketika berhenti di stesen utama pula, kita menerima ucapan "Terima kasih kerana memilih perkhidmatan bas ini. Sehingga berjumpa lagi..."
Sebelum turun melalui pintu di hadapan bas, kita jelaskan dahulu tambang yang tepat pada mesin elektronik bersebelahan pemandu. Berkampir dengan mesin terbut ialah mesin menukar wang kecil.
Bila pula kita dapat mendengar 'keramahan dan kemesraan' pemandunya?
Ya, sebaik sahaja kita berada di dalam bas, pemandu memaklumkan "Bas akan bergerak, sila berhati-hati. Terima kasih."; atau ketika hendak membelok ke kiri dan ke kanan; ketika mempersilakan para penumpang masuk agar orang lain boleh juga naik dan setiap kali sebelum kita turun dengan bekalan ucapan terima kasih yang langsung dan tulen.
Pemandu yang segak berpakain seragam dengan tali leher, kot dan topi tidak jemu-jemu melafazkan ucapan terima kasih sambil mengangguk kepada setiap penumpang! Senyuman berhias di bibir dan tutur kata yang diulang-ulang tidak menjemukan. Mengapa?

Rabu, Oktober 27, 2010

Imbauan Kedua

Aduhai, ada kalanya, terlalu banyak idea dan rasa yang hendak disuarakan. Pada masa yang lain pula, tercari-cari sekilas pun tak melintas.
Namun, saya sedar akan keupayaan diri dalam memanfaatkan teknologi terkini. Justeru, kalau tersilap di mana-mana saya mudah merajuk. Maka itulah Suara Hati 'pendiam dan pemalu'!

Sentuhan di perantauan tepu menerjah minda sejak semalam, sehingga saya tidak terpilih hal yang terbaik untuk diluahkan dalam imbauan kedua. Dan, pada saat-saat seperti itulah seseorang menjengok di e-mel. Separuh malam saya dilamun nostalgia yang mengasyikkan.

Subhanallah! Insan budiman itu, bekas pelatih saya yang terjumpa alamat e-mel dan terus menghubungi bekas pensyarahnya. Allah Yang Maha Berkuasa mengizinkan pertemuan saya dengan Nuzulharlina Abdul Rahman yang pernah saya didik di Maktab Perguruan Raja Melewar pada tahun 1991 hingga 1993 yang lalu. Pertemuan ini pula berlangsung ketika kami sama-sama di perantauan. Beliau menyambung pelajaran di UPM, UPSI, bertugas di Kementerian Pendidikan dan kini menyambung lagi di University of York. Alhamdulillah, kembang rasanya hati bekas pendidik yang sempat bersama-sama beliau.
Dalam e-mel pertama, Lina agak ragu-ragu, kemungkinan saya sudah tidak mengenali beliau lagi. Setelah mendapat balasan daripada saya, Lina amat mesra seperti ketika beliau bersama-sama saya, kira-kira 17 tahun yang lalu.

Masakan saya dapat melupakan Lina. Memang, beberapa tahun kemudian, adik beliau Atiah Sakinah turut menuntut di MPRM, Seperti kakaknya, Atiah amat berbakat dalam bidang kemahiran berbahasa seperti pantun, bahas, pidato, deklamasi puisi , penulisan kreatif dan pengacaraan majlis yang dipelajari di dalam bilik kuliah. Kebetulan saya antara yang turut terlibat. Malah Atiah turut menggondol Anugerah Penggerak Bahasa (dalam kalangan pelatih)anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang diwujudkan sekitar tahun 20-an itu.

Pada akhir catatan, Lina mengungkapkan
"Bonda, sehingga ke hari ini, saya masih menjadi pengacara majlis di maktab, di u, di kementerian. Orang yang banyak melatih tertib tutur bicara saya ialah bonda. Terima kasih bonda, tak terbalas budi bonda."

Saya berasa amat terharu menerima pengucapan hati tersebut. Spontan terimbau kisah yang berlaku ketika saya mula-mula mengajar di Sekolah Rendah Tunku Kurshiah, Kuala Pilah, bermula pada tahun 1970. Sejak mula bertugas di sekolah perempuan tersebut, saya dilantik menjadi Penolong Setiausaha Sukan, Setiausaha PIBG, Ketua Guru Rumah Kuning, Pengacara Majlis, Penulis Teks Ucapan dan beberapa lagi. Maklumlah, guru baharu. Banyak portfolio yang disediakan. Saya tiada upaya untuk menolak kerana kesemua itu bidang saya. Saya sangat sayang akan kegiatan tersebut.
Dua tahun berturut-turut saya dan Cikgu Fauziah Ariffin menjadi pengacara majlis Anugerah Tahunan sekolah. Namun, pada tahun ketiga saya menyuarakan usul agar murid dilatih untuk berbuat demikian, Dalam mesyurat majlis itu, saya 'ditembak' dengan soalan-soalan yang mengancam dan mengujakan.
"Ni, majlis rasmi. VVIP yang hadir. Nanti tak betul budak tu buat?"
"Mana ada orang buat, murid yang jadi pengacara?"
dan yang agak sinis sehingga mahu sahaja saya melupakan ungkapan tersebut...
Hanya Pengerusi PIBG ketika itu, Encik Abdul Rahman Yaakob amat tertarik dan bersungguh-sungguh menyokong.
Apabila diberi peluang menjawab, saya dengan tenang menyatakan bahawa itu majlis sekolah yang dikongsi bersama-sama oleh murid, guru dan PIBG. Jadi semua sepatutnya bertanggungjawab secara bersepadu menjayakannya. Bila lagi kita hendak melatih generasi pelapis? Jika murid buat salah, pada mata khalayak itu menghiburkan dan proses belajar yang amat bermakna. Kita pilih murid yang terbaik, kita latih betul, insya-Allah berjaya..."

Akhirnya, Sharifah Kharidah, anak Ustazah Ramlah yang juga mengajar di situ, terpilih. Saya dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk menjayakan hasrat tersebut.

Cabaran itu saya sahut dengan penuh kesungguhan dan semangat keterujaan. Setelah teks diluluskan oleh Guru Besar, saya mula merancang dengan bantuan Ustazah Ramlah. Di rumah saya harap beliau dapat terus melatih murid berbakat itu. Segala pengalaman saya curahkan kepada murid cerdas dan cergas itu. Antaranya, menghayati peranan juruacara, faham akan perjalan majlis, berpandukan teks berlatih bertubi-tubi, pastikan sebutan baku, jeda tepat, gaya memegang teks khas paras dada, cara mengeluarkan suara, masa mewujudkan kontak mata dengan khalayak, cara berdiri serta saat untuk senyum.
Alhamdulillah, Sharifah Kharidah berupaya memenuhi impian saya. Tamu istimewa, Pengarah Jabatan Pelajaran, Pengerusi PIBG, Guru Besar dan kebanyakan penjaga yang hadir tersenyum puas.
Ketika di maktab pun begitu, Lina yang cukup berbakat, mesra, peramah dan ada daya tarikan mula-mulanya diberi peluang untuk mengacarakan majlis-majlis peringkat guru pelatih sahaja. Namun, setelah dilatih beliau terus menunjukkan sikap profesional. Lina menjadi pengacara pelbagai majlis, peringkat maktab dan antara maktab.

Ketika di MPRM, saya dapati pelatih yang berminat dalam bidang bahasa dan sastera lebih menonjol daripada yang lain. Hal ini kerana peluang untuk mereka berinteraksi dan beraksi di luar dalam pelbagai acara jua amat banyak. Sebagai Ketua Pensyarah Persatuan Bahasa Melayu, saya kerap membawa mereka ke DBP, yang sentiasa menganjurkan pelbagai program sastera dan bahasa dan ke penerbitan-penerbitan utama untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. Bukankah pendidik itu mesti lebih bijak, bermaklumat, mahir dan berwibawa daripada murid-muridnya?

Ada antara mereka bukan daripada kalangan pelatih bidang Pengajian Melayu. Yang masih saya ingat, contonya Mohamad Saleh Wasik daripada bidang Sains dan Atiah Pengajian Bahasa Inggeris. Yang lain seperti A.Rashid, Nordin, Nurul Huda, Azizah dan Rafeah Rahman mengharumkan nama MPRM di peringkat kebangsaan dalam bidang bahasa dan sastera selain turut mencipta nama sebagai pemenang beberapa anugerah serta anugerah tertinggi maktab, Anugerah Melewar. Mereka ini pelatih asas. Yang singgah berkursus setahun di MPRM dan yang turut berjuang dalam bidang bahasa dan sastera ada juga yang sebaris dengan penulis dan penggerak negara yang lain. Antaranya Shukri Abdullah, Amirudin Ali, A.Razak Othman, Mohamad Hashim Osman dan Nasir Hassan.

Seperti juga dengan Lina, sebenarnya yang saya sampaikan kepada pelatih, pelajar dan murid saya selama hampir 33 tahun itu, amat sedikit jika dibandingkan dengan yang saya peroleh. Semua itu bukan milik saya. Saya dipinjamkan sekelumit pengalaman yang perlu dikongsikan. Dan amat banyak kekurangan dan kelemahan sepanjang saya bertugas. Kini, giliran kalian untuk melengkapkannya dan wariskannya pula kepada yang berhak.

Insya-Allah kita sama-sama mendapat petunjuk dan reda-Nya! Amin.

Ahad, Oktober 17, 2010

Imbauan Pertama

Apabila beberapa hari di bumi asing, sukma rindu menerbitkan nostalgia. 'Dendang Perantau' tercipta dan kemudian tersiar di majalah Pelita Bahasa, Julai 2010.

Dendang Perantau

Apabila memerhatikan
kepulan awan berarak
menerjah ranum kenangan
rebusan ubi yang berasap.

Air liur terasa meleleh
mencecah ubi rebus
dengan sambal gesek
bersama-sama kangkung kukus.

Apabila melihatkan
keluarga Jepun menjamu 'udun'
menerpa ramah ingatan
berkongsi makan lemang.

Lazatnya dicecah dengan rendang
sambil menghirup aroma
rempah-ratus dan daun pisang
air tangan ibu tercinta.

Apabila menikmati
lambaian sakura yang menghiburkan
mengelus tulus di kamar hati
harmoni aura di kampung halaman.

Indah dan damainya memukau
berlarian di permatangan
menghirup air kelapa muda
menghayati syair bonda tersayang.

Apabila mendengarkan
bahasanya segar di mana-mana
dituturkan dengan rasa kekaguman
serta patriotisme yang menggema.

Teringat bahasa Melayuku Bahasa Kebangsaan
semakin tersisih dan dipinggirkan
meski termaktub di dalam Perlembagaan
kenapa masih kurang kesungguhan?

Pesanan bonda sering dilupa
kerinduan menjelma setelah tiada
bermuhasabahlah setiap ketika
jangan kecundang kerana alpa.

Apabila dengan berhemah diamat-amati
semuanya berlangsung hanya sekali
begitulah agungnya anugerah Ilahi
mesti dihargai dan disyukuri!

Mahaya Mohd.Yassin
14 April 2010

Ahad, Oktober 10, 2010

Di Perantauan

Aduhai, hasrat untuk memesrai Suara Hati terpendam lamat amat! Namun, apabila berada jauh di perantauan, kerinduan ini tidak upaya dibendung lagi...
Di sini, segala sesuatu memukau dan sekali gus mengundang pengamatan dan penilaian yang tepu di hati. Semakin diperam, kian terasa keperluannya untuk diluahkan dan dikongsikan.
Mungkin saya akan menyuarakan rumusannya nanti secara berperingkat-peringkat, insya-Allah.