Jumaat, Disember 31, 2010

Imbauan Ke-10: Pendidikan Ilmu Alam

Subhanallah! Buat pertama kalinya, hari ini Jumaat, 25 Muharram 1432 bersamaan 31 Disember 2010 saya menyaksikan salju di Kusatsu, Jepun. Sejak jam 9.30 pagi, salju turun dengan santun. Mula-mula gerimis salju gugur berselirat di tiup angin ke sini sana. Sejam kemudian, gerimis beransur berat dan lebat menghantar dingin.
Anak-anak jiran dengan keluarga masing-masing keluar menikmati kejadian Allah. Riangnya mereka, meski saban tahun pengalaman bermain salju tidak serupa.

Dari jendela rumah...

Segera terimbau ketika saya masih kanak-kanak. Pada musim-musim hujan Abah dan Emak 'membenarkan' kami bermain hujan. Kami bersama-sama membersihkan tempayan air, memberus simen dan longkang. Dan tidak lupa kami adik-beradik bermain tarikh upih di tengah-tengah air yang menggolek di halaman rumah.

Anak-anak jiran mula keluar bermain salju.

Sebelum dan seleps itu, Abah dan Emak bercerita darihal awan, mega, mendung, hujan, gerimis, renyai, rintik-rintik, lebat, hujan angin, guruh, kilat, kilat sabung-menyabung, petir, dentuman petir, panahan petir, halilintar, pelangi dan macam-macam lagi...

Pemandangan di jalan raya di hadapan rumah.

Adakah cucunda-cucundaku di Malaysia masih berpeluang belajar Pendidikan Ilmu Alam seperti itu?

Kenderaan di hadapan rumah yang dilitupi salju.

Surah Al-Mulk (15) yang bermaksud: Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah rezeki yang dikurniakan Allah. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmat-Nya dan takutlah akan kemurkaan-Nya.)

6 ulasan:

Syarifah Salha Syed Ahmad berkata...

Subhanallah! Menikmati alam ciptaan Allah adalah salah satu daripada tanda syukur terhadap kekuasaan-Nya. Selamat beristirehat sambil menikmati hujan salji, bonda Mahaya. Salam rindu dari bumi Malaysia.

Wan A. Rafar berkata...

Assalamu'alaikum Puan Mahaya. Semoga pengalaman puan di Jepun akan membuahkan banyak karya kreatif. Memerhatikan kejadian langit dan bumi dan alam ciptaan Allah adalah amalan orang-orang yang bijak, sebagaimana maksud ayat 190 A-li 'Imran: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

Shazmee Rizal Agus Salim berkata...

salam sayang buat bonda,anak-anak tumpang gembira melihat senyuman puas yang menguntum di wajah nenda mereka. Doa kami agar bonda dalam peliharaan-Nya. Amin

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Anakanda Syarifah Salha,
Terima kasih. Insya-Allah kita sama-sama mensyukuri nikmat dan rahmat-Nya, sekalu gus dapat pula berkongsi dengan pihak lain melalui karya. Ketika bonda 'beristirahat' bonda pun merindui kalian di tanah air tercinta.
Salam sayang.

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Waalaikumussalam Tuan Haji,
Insya-Allah, sama-samalah kita menggarap karya selagi Allah memberikan rahmat dan nikmatnya. Terima kasih atas kunjungan dan ingatan.
Teruskan berkarya dengan jayanya.

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Anakanda dan keluarga di Malaysia,
Alhamdulillah, semoga kita sama-sama dalam peliharaan-Nya walau kita berpisah sementara.

Salam kasih sayang untuk semua.