Rabu, Mei 30, 2012

Titipan yang ke-24

Alhamdulillah, Memoir Kuasa Kata: dari  lisan mengalir ke lautan aksara yang sempat menyentuh hati nurani pengongsinya, memantulkan pelbagai reaksi. Saya sudah bersiap siaga dengan kemungkinan-kemungkinan yang enak dan menyelerakan atau yang sebaliknya.

Allah Maha Perkasa dan Maha Penentu. Ketika beberapa bulan menemani anakanda bongsu di Negara Matahari Terbit (2010-2011) saya diberikan-Nya masa untuk mencantum-cantumkan cebisan kisah yang terpisah-pisah.
Aura di Jepun yang terasuh dengan nilai kekeluargaan yang erat berkasih sayang dan pendidikan yang menyeluruh terutama dari sisi pembacaan dan penglahiran bakat dalam kalangan kanak-kanak amat mengujakan.

Pada pertengahan 2012, akhinya, draf pertama wujud dengan judul sementara 'Mengharum Sukma'.Judul itu mekar dalam mimpi dan jaga, dalam zikir dan doa. Sebab utamanya tidak lain. Saya berhajat untuk mendedikasikannya kepada;
                    i) ahli keluarga terutama allahyarham suami Haji Salim Haji Taib (Agus Salim, SM Hata), allahyarham ibu (Hajah Rimpun Ahmad) dan allahyarham abah (Haji Mohd.Yassin Tahir). Merekalah yang membentuk dan mengukir diri dan peribadi saya selama ini
                   ~ anakanda, menantu dan cucunda yang amat memahami dan terus membakar semangat  untuk berupaya meneruskan cita-cita dan impian. Hasrat itulah jua yang telah diwasiatkan oleh ayah dan datuk mereka itu. Hajat itulah yang terbaik, tiada pilihan.

                     ii) masyarakat umum, terutamanya golongan pendidik. Pendidik, sebenarnya bukan hanya di bilik kuliah/darjah. Sebenarnya, kita ialah 'cikgu' walau di mana. Justeru, pangalaman yang tepu dalam pelbagai bidang perlulah dimanfaatkan. Berkaryalah. Dengan meninggalkan hasil penulisan, pendidik hidup sepanjang zaman, buah fikiran dikongsikan dengan lebih luas, bermakna dan bijaksana. Pendidik-penulis perlu meluweskan peranan, tugas dan tanggungjawab demi dakwah dan ibadah, insya-Allah.
                     ~ penulis. Lorong yang kita tempuhi berliku dan berkerikil. Namun, dengan niat, usaha dan doa, Dia yang Maha Pemurah dan Pengasih. Akan ditunjukkan-Nya jalan yang mudah. insya-Allah.  
                     ~ semua pihak. Kalian dan kita semua amat perlu menjadi penjana kuasa kata yang  terbaik/wajar yang cemerlang. Kata berkuasa menjadi pendorong. Kata berkuasa membahagiakan persekitaran. Kata jua berkuasa sebagai penyambung nyawa!

Beberapa bulan, manuskrip saya arak ke sana ke mari. Allah menentukan jua. Saya mengambil keputusan untuk menerbitkannya sendiri..
Dan saya amat yakin, kata yang berkuasa di dalam sanubari bahawa tiada jalan mudah untuk melunasi tanggungjawab ini, saya gagahi lorong nan terbentang. Bulan bintang bergemerlapan!
Terima kasih kepada semua, terutama anakanda Nor Azzah (editor) yang menyuntikkan nilai tambah yang amat diperlukan. Kata bagai air yang mengalir, pelengkap takdir, perindah zikir!


Sabtu, April 28, 2012

Titipan ke-23: Sebuah Memoir: Kuasa Kata dari lisan mengalir ke lautan aksara

Zaman kanak-kanak melakarkan dan memahatkan kenangan yang sukar dipadamkan daripada ingatan. Maka itu, orang dewasa dituntut agar merancang hanya yang baik-baik untuk mereka.



Tugas ini besar, besarlah lagi cabarannya.
Tanggungjawab ini menggugah perasaan,
tergugahlah jua fikiran kita.
 

Dalam Sebuah Memoir; Kuasa Kata dari lisan mengalir ke lautan aksara, saya bermula dengan kanak-kanak hingga ke era pesaraan. Setelah 34 tahun 6 bulan 28 hari bertugas sebagai pendidik, saya terpanggil untuk berkongsi sekelumit ilmu dan pengalaman yang dipinjamkan-Nya. Tambahan pula, Allah menentukan, saya juga berkarya.

Mendidik dan berkarya tepu persamaan
kedua-dua bidang ini saling melengkapi dan
memperindah peranan dan kehidupan!

Saya tidak mungkin memutar kembali masa lampau untuk dikendalikan dengan lebih baik. Namun, saya mungkin berupaya untuk melontarkan idea agar yang sudi membaca dan mencerna beroleh sesuatu yang bermakna, insya-Allah.

Daripada hal dan karenah kanak-kanak dalam kalangan keluarga, saya menyelusuri kanak-kanak di sekolah rendah yang saya gulati selama lapan tahun. Kemudian, pengalaman tersebut saya olah untuk menangani remaja di sekolah menengah dan di maktab perguruan. Rezeki menyebelahi saya. Peluang untuk merasakan denyut nadi dan nafas remaja dan dewasa dalam kalangan masyarakat penulis mendidik saya agar peka dan prihatin akan pengisian program untuk mereka.

Perjalanan ini sesungguhnya semerbak mewangi
meski beronak duri.
Saya melewatinya dengan debar dan getar nikmat
kerana wadahnya bahasa dan sastera keramat!

Saya persembahkan karya terbaharu ini
ke takta rasa dan bicara kalian nan budiman.
Teriring doa dan harapan
ada yang dapat dimanfaatkan,
sesiapa yang tertempias, maaf dipinta.

Alhamdulillah.
Terima kasih, semua.

Mahaya Mohd.Yassin
Sabtu, 6 Jamadilakhir 1433/28 April 2012

Selasa, April 10, 2012

Titipan ke-22: Bermula dengan Kanak-kanak (1)

Pendidikan untuk generasi baharu sebenar-benarnya bermula lebih awal. Ketika pertama-tama pasangan teruna dara berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga bahagia, pendidikan bakal zuriat sudah dirancang mengikut syariat agama.

Bermula dari situlah diteliti dan dihalusi setiap langkah agar hasrat menjadi hamba dan khalifah-Nya, dapat dilunasi dengan bijaksana dan mengikut landasan Islam.

Anak ibarat kain putih yang bersih. Mereka perlu kita didik dan asuh agar mengenal dan mengetahui hakikat ketuhanan sebagai asas tauhid yang kukuh. Sebelum berumur tujuh tahun, mereka penyerap segala-sagala yang diterapkan oleh kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga, masyarakat serta persekitaran mereka. Lantas, jika aura dan aroma alam di seputar mereka positif, optimis dengan hala tuju duniawi dan ukhrawi yang pasti, ke situlah mereka pergi, insya-Allah.

Daripada pemikiran inilah terjana idea untuk melaksanakan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Puisi Kanak-kanak, 7 April 2012 yang lalu, mengikut keupayaan yang dipinjamkan-Nya kepada saya. Terima kasih, ya Rabbi...

Selasa, 18 Jamadilawal 1433/10 April 2012

Rabu, April 04, 2012

Titipan ke-21: Mesyuarat GAPENA ke-41 & Hari Sastera Nasional XV

Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, GAPENA, persatuan-persatuan penulis Melaka, pemakalah, tamu, peserta, petugas dan seluruh warga Melaka yang menjayakan Mesyuarat Agung GAPENA ke-41 (29 Mac -30 Mac) dan Hadiah Sastera Nasional XV (31 Mac - 1 April).

Melaka yang memang mencipta sejarahnya yang tersendiri termasuklah moto atau cogan kata negerinya yang luar biasa - "Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia", "Melaka Bandar Raya Warisan Dunia, UNESCO" dan "Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau".

Kedua-dua acara turut mencatat sejarah kerana berlangsung secara berurutan. Mesyuarat Agung GAPENA menyaksikan kepimpinannya beralih tangan. Ketua Satu yang baharu menggantikan tokoh berwibawa yang banyak berjasa, Tan Sri Ismail Husin ialah Datuk Wira Abdul Latif Bakar. Ketua Stua ialah datuk Zainal Abidin Borhan, Setiausaha Satu Borhan Md. Zain, Setiausaha Dua Osman Ibrahim, Bendahari Dr. Hashim Ismail. Jawatankuasa yang terpilih ialah Datuk Samad Maharuddin, Dr, Salleh Rahamad, Jasni Mat Lani, Datuk Mansor Abdullah dan Datuk Zainal Rashid Zahidi.

Hari Sastera kali ini dalam suasana yang gilang-gemilang, tepu dengan sesi percambahan fikiran dan gugahan perasaan. Majlis bacaan Yasin, perasmian dan penutupan, pembentangan kertas kerja, Pengucapan Puisi, Kenduri Sastera, termasuk menelusuri Sungai Melaka dan kenduri ikan bakar di Umbai.

Sepanjang perkampungan itu, akhbar Melaka Hari ini merakamkan kegiatan tersebut dengan meluas. Lebih 300 orang peserta dari Thailand, Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia sendiri pulang dengan fikiran dan kenangan untuk dicerna dengan matang. Apakah kesannya?

Mampukah majlis tersebut membuka mata pihak-pihak tertentu agar memartabatkan bahasa dan sastera dengan bersungguh-sungguh, demi pembinaan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berjati diri? Tercabarkan pemikiran dan semangat golongan pelapis untuk meneruskan perjuangan ini agar terbina peradaban yang dihasratkan? Adakah 14 resolusi yang dikemukakan oleh GAPENA mendapat perhatian kerajaan dan pihak berwajib? Dan seribu lagi persoalan lain yang menerjah. Sesungguhnya, perjuangan baru bermula...

Selasa, Mac 27, 2012

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Puisi Kanak-kanak (7 April 2012)


Wacana Ilmu ~ Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Puisi Kanak-kanak
anjuran bersama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS)
di Kompleks JKKNNS, pada 7 April 2012 (Sabtu) 8.30 pagi hingga 2.00 petang.

Peserta: pendidik, ibu bapa, penulis, penuntut, peminat dan sesiapa sahaja.
Pengisian: Falsafah dalam Puisi Kanak-kanak oleh Dr. Amida Abdulhamid (Anis)
dan Puan Hajah Mahaya Mohd.Yassin (berdasarkan Ayahku Pulang, DBP 2011).

Penyertaan: Percuma. Sila sahkan kehadiran dengan menghubungi
Datin Sabarriah; 019-254 3476/ sabarshukur@yahoo.com atau Mahaya 012-3083965/mahaya_es@hotmail.com
sebelum 30 Mac 2012.


~Pariwarta~
Seseorang bertanya, "Mengapa puisi kanak-kanak?"
MMY: "Puisi amat kreatif. Melalui puisi kita dapat menyelongkar dan memugar minat dan potensi kanak-kanak ke arah matlamat yang bermanfaat, seperti yang kita hasratkan."
"Tapi, saya bukan guru,"
MMY: "Sesiapa sahaja; guru, ibu bapa, ahli keluarga, pelajar, pentadbir, penulis, pengukir, peminat, pengkritik, penyiar, pemerhati dan pengongsi ilmu, diundang sama. Bukankah kita semua berbakat? Bukankah puisi itu terapi?"
"Apa faedah lain?"
MMY: "Dr. Amida Abdulhamid memaklumkan melalui sistem pesanan ringkasnya sebentar tadi, "...tak sangka puisi kanak-kanak sarat falsafahnya," Jom kita dengar dan hayati!"
"Boleh juga, manalah tahu..."
MMY: "Yakinlah, kaedahnya amat mudah, menggugah perasaan dan fikiran, nostalgik dan menarik, insya-Allah. Allah jua yang mempermudahkan segala-galanya. Terima kasih."

Ahad, Mac 11, 2012

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri ke-20: 11 Mac 2012

Bil.

Perkataan

Makna

1.

tsunami

ombak laut yang besar dan ganas yang disebabkan oleh gempa bumi atau letupan gunung berapi di bawah laut

2.

susyi

makanan Jepun berupa nasi bersalut dan diletakkan lauk, terutama ikan mentah di atas atau di dalamnya

3.

sumo

perlawanan gusti cara Jepun

4.

arigato gozaimasu

terima kasih

5.

youkoso

selamat datang

Titipan ke-20

Alhamdulillah, hari ini terdetik untuk kembali bersuara di sini. Suara hati bergema ketika mengenang detik bersejarah yang terlakar dalam kehidupan kami, genap setahun yang lalu.

Pada tahun 2011, saya kerap ke Jepun, menjengok-jengok anak yang bongsu, Adib Syukri. Dapatlah anak-anak yang lain bersama-sama keluarga mereka turut berpeluang melancong ke sana. Setelah tamat pengajiannya pada pertengahan Februari, kami kembali ke Malaysia. Adib berjanji dengan sahabatnya, Muiz untuk bersama-sama melancong ke serata pelosok Jepun hingga 20 Mac. Saya dan anak ketiga sekeluarga yang belum berpeluang ke sana berhajat untuk meraikan hari konvokesyennya, pada tarikh tersebut. Kami tempah tiket kapal terbang pergi balik dan hotel di dua bandar, dua bulan sebelum itu.

Dalam jam 2.15 petang Jumaat 10 Mac, Nisah menelefon menanyakan di mana Adib ketika itu. Dengan yakin saya menjawab, "Di Tokyo. 9 Mac semasa kita di KUIM, beliau memberitahu masih di Tokyo."
Nisah terus mendesak, "Lihatlah CNN sekarang, kak!"

Subhanallah, CNN memaparkan Jepun sedang dilanda tsunami yang amat dasyat. Saya segera menelefon Adib, tiada jawapan. Telefon pula sahabat-sahabatnya, termasuk Muiz, juga tiada jawapan!

Allah yang Maha Tahu...Saya sudah tenggelam dalam air mata sambil menyeru Dia yang Maha Berkuasa. Saya menelefon anak-anak yang lain, jiran dan kawan-kawan setaman. Sebentar kemudian, saya tidak lagi bersendirian. Ada jiran dan sahabat yang sudi menemankan sambil membawa buah tangan, doa keselamatan.

Jumaat malam, Sabtu dan Sabtu malam terasa berengsot bagai siput. Anak, menantu, cucu-cucu, jiran dan saudara cuba menenangkan hati yang luluh. Pegawai kedutaan memaklumkan, "Ada nombor Adib yang lain? Namanya ada dalam senarai orang yang hilang!" Sahabatnya di Tokyo menelefon, "Memang sah, Adib dan Muiz melancong ke Sendai makcik,"

Ahad, dalam jam 10. 30 pagi, Adib menelefon. Allahuakhbar! Alhamdulillah! Saya dihidupkan-Nya kembali! Mereka ke Sendai untuk menikmati pantainya yang landai mempesonakan, selain hasil pertanian, terutama buah-buahan, yang segar dan menggiurkan. Ketika kejadian mereka di Muzium Sendai dan memang merasakan detik-detk cemas tsunami tersebut. Di mana-mana Allah menguji kita.

Surat al-A'raaf (196) " Sesungguhnya Pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan Kitab (al-Quran) dan Dialah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan."