Isnin, Ogos 19, 2019

Biodata Terkini



Nama:  MAHAYA BINTI MOHD.YASSIN

 
Tempat Lahir:  Kampung Tanjung Petai, Terachi, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.

E-mel:  mahaya_es@hotmail.com

Pekerjaan:       Pesara Pendidik


1.    AKADEMIK DAN PENGALAMAN KERJA

i)     Sijil Pelajaran Malaysia (Malaysian Certificate of Education), 1965

ii)    Sijil Guru, Pusat Latihan Guru Seremban, 1967-1969

iii)   Higher School Certificate (HSC), 1976

iv)   Test of English as a Foreign Language (TOEFL),1986

v)    Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Kelas Tinggi), Kursus Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Universiti Malaya, 1979 -1982

vi)   Sarjana Sastera, Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1998

PENGALAMAN KERJA

i)     Guru, Sekolah Rendah Tunku Kurshiah, Kuala Pilah, 1970-1976

ii)    Guru, Sekolah Kebangsaan Seri Kelana, Seremban, 1977-1979

iii)   Guru, Sekolah Menengah Seri Ampangan, Seremban, 1982- April 1985

iv)   Guru, Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, 1985

v)    Pensyarah, Institut Bahasa, Kuala Lumpur, 1985-1986

vi)   Pensyarah, Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban Jun 1986-Julai 2004

vii) Bekas Pensyarah Sambilan: Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Februari 2013 – Februari 2014.

viii)                Pensyarah Sambilan: Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Februari 2017 – April 2018


SUMBANGAN LAIN
                     i.        Mahaya mewakili Malaysia dalam Pertukaran Belia Malaysia-Kanada 1972,

                    ii.        Pemenang Hadiah Utama dan Khas Anugerah Trofi Nona, TV 3, 1997

                  iii.        Hadiri/laksanakan kegiatan Pesta Buku Antarabangsa di Bolognia, Itali; Tokyo, Jepun; Shanghai, China; Singapura, Pulau Nami, Korea Selatan.

                  iv.        Munsyi Dewan (Bahasa) sejak 2004.

                   v.        Tamu Sari Bahasa di Negerifm, Negeri Sembilan “Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul”, sejak 1994 hingga kini.

                  vi.        Pengulas Puisi Dewan Siswa, DBP sejak Januari 2011.

                vii.        Bintang Kurniaan ~Pingat: DNS, ANS, AMN, PMC & PJK

ANUGERAH/HADIAH YANG PERNAH DIMENANGI
PERINGKAT NEGERI

1)        Nama:        Hadiah Tokoh Seni Negeri Sembilan
Pemberi:     Kerajaan Negeri Sembilan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan
Tahun:        2002

2)        Nama:        Anugerah Tokoh Penulis Negeri Sembilan
Pemberi:     Kerajaan Negeri Sembilan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan
Tahun:        2004, bersempena dengan Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan, 2004

3)        Nama:        Anugerah Ilmuan dan Sastera Negeri Sembilan, 2005
Pemberi:     Kerajaan Negeri Sembilan
Tahun:        2005                                 
Karya:          Puisi Eceran “Tiada Tertanding” (Kategori B) Antologi Puisi Tiada Tertanding
ISBN:           983-9348-16-7
Penerbit:     Grup Penulis Guru Negeri Sembilan
Tahun:        1999

4)        Nama:        Hadiah Sastera Negeri Sembilan, 2007
Pemberi:     Kerajaan Negeri Sembilan
Tahun:        2007 (14 November)
Kategori:     Tokoh Puisi

5)        Nama:        Hadiah Sastera Negeri Sembilan 2007
Pemberi:     Kerajaan Negeri Sembilan
Tahun:        2007 (14 November)
Karya:          Puisi Eceran “Mengutip Manik Waktu yang Masih Tersisa”, Kumpulan Puisi Mengutip Manik Waktu yang Masih Tersisa
ISBN:           978-983-62-9669-6
Penerbit:     Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:        2007


6)        Nama:        Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2015
Pemberi:     Kerajaan Negeri Sembilan
Tahun:        2015



PERINGKAT KEBANGSAAN

1)        Nama: Hadiah Buku Terbaik (Fiksyen) Peringkat Sekolah               Rendah sempena dengan Tahun Antarabangsa Kanak-kanak Sedunia 12-18 Julai 1979 (bersama-sama dengan Agus Salim)
Pemberi:     Kementerian Pelajaran Malaysia
Tahun:        1979 (18 Julai)
Karya:          Kucing dengan Tupai
ISBN:           978-983-62-3379-0
Penerbit:     Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:        1978

2)        Nama: Hadiah Sagu Hati Anugerah Penulisan Puisi Remaja
           ESSO-GAPENA 1986
Pemberi:     ESSO dan GAPENA
Tahun:        1986
Karya:          Puisi “Album”

3)        Nama:        Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/1999
Pemberi:     Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:        2000 (31 Oktober)
Karya:          Puisi Eceran: “Tiada Tertanding” (Kategori B) Antologi Puisi Tiada Tertanding
ISBN:           983-9348-16-7
Penerbit:     Grup Penulis Guru Negeri Sembilan
Tahun:        1999

4)        Nama:        Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001
Pemberi:     Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:        2001
Karya:          Puisi Eceran: “Jati Diri” (Kategori B) Tersiar dalam Dewan Sastera Oktober 2000
ISBN:           -
Penerbit:     Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Penerbitan: 2000

5)        Nama:        Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/1999
Pemberi:     Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:        2010 (18 Januari)
Karya:          Puisi Eceran: “Wanita dan Laut” (Kategori B) Kumpulan Puisi Mengutip Manik Waktu yang Masih Tersisa
ISBN:           978-983-62-9669-6
Penerbit:     Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Penerbitan: 2007


6)        Nama: Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012
Pemberi:     Kerajaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:        2013 (27 November)
Karya:          Memoir Kuasa Kata: dari Lisan Mengalir ke Lautan Aksara
ISBN:           978-967-11045-4
Penerbit:     AnAlaksana Media
Tahun:        2012

7)        Nama:         Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013
Pemberi:     Kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:        2013
Karya:          Kumpulan Puisi Kanak-kanak Pesanan Pendeta
ISBN:           978-967-430-336-5
Penerbit:     Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
Tahun:        2014

8)        Nama:        Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014
Pemberi:     Kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:        2014
Karya:          Kumpulan Puisi Kanak-kanak Sakura
ISBN:           978-983-46-0933-7
Penerbit:     Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun:        2014

           9)       Nama:         Anugerah Buku Negara 2018
                     Pemberi:     Kerajaan Malaysia
                     Tahun:        2018
                     Karya:         Kumpulan Puisi Kanak-kanak Buku
                     ISBN:          978-967-460-558-2
                     Penerbit:     ITBM
                     Tahun:        2017

          10)      Nama:        Anugerah Buku Negara 2019
                     Pemberi:     Kerajaan Malaysia
                     Tahun:        2019
                      Karya:        Antologi Puisi Umum Harkat Maya
                     ISBN:          978-967-11045-2-1
                     Penerbit:     ITBM
                     Tahun:        2019


Mahaya Mohd.Yassin
15 Ogos 2019

Ahad, April 20, 2014

SEMINAR PEMIKIRAN MAHAYA MOHD.YASSIN, 19 April 2014

Bahagian Pertama:
Sudah hampir tiga tahun saya tidak menjengok ujana ini. Namun, peristiwa terbaharu ini, benar-benar menjentik rasa. Sesuatu yang tidak terperam dan terpendam. Saya kembali menyusun aksara, Suara Hati.
Subhanallah, ketika seseorang mengajukan agar PEN menganjurkan Seminar Pemikiran Mahaya Mohd.Yassin, saya gementar, setengah hairan sambil tertawa perlahan.
"Eh, biarlah dulu, akak belum banyak sumbangan, Puan...lah ..."
"Eshh, akak dah tulis macam-macam. Banyak!Yang dahulu didahulukan."
Apabila persoalan ini saya kemukakan kepada lima orang anakanda, mereka dengan mudah berhujah:
"Mak rasa bagaimana?" (Aduhai kita tanya pendapat mereka, kita pula kena jawab soalan yang sama, hiii, hiii)
"Mak mengaku mak hanya penulis, bukan penilai, ya tak? Jadi, mak hanya menulis. Biarlah orang lain mengkritik, mengulas."
"Kalau dah diulas, dibicarakan, dikritik dan dibincangkan, mak akan tahu kelemahan dan kekuatan mak. Nah, nanti baiki kelemahan..."
"Lama tak ada acara bicara tokoh di negeri kita, mak."
Tiga hari tiga malam saya jaga dan lena bersama-sama persoalan ini. Neuron di bahagain kanan kiri otak berhujah tanpa henti. Saya Ketua Satu PEN, PEN nak anjurkan seminar Ketua Satunya pula. Ala, itu kebetulan.Cukupkah bahan untuk diperkatakan? Sanggupkah nanti mendepani hal yang tidak disangka-sangkakan? Beranikah?
Saya tersedar akan peranan saya. Saya hanya penulis yang menuangkan pendidikan, nilai murni, pengetahuan, maklumat dan rencam lain, melalui bahasa pilihan ke dalam karya. Saya akan berlaku kurang adil andainya saya yang menilai karya saya sendiri. Apatah lagi, saya akan bersikap prejudis, berat sebelah andainya saya menulis dan mengkritik karya sendiri...
Setelah memohon petunjuk daripada Yang Maha Perkasa, saya redha. Demi kelangsungan dan kesinambungan sejarah dan perjuangan sastera dan persuratan di negeri kelahiran dan di negara kesayangan, saya bersetuju. PEN akan anjurkan seminar pemikiran tersebut, insya-Allah.
Ya, Rabb! Tolonglah bimbing hamba-Mu setiap masa.



Rabu, Mei 30, 2012

Titipan yang ke-24

Alhamdulillah, Memoir Kuasa Kata: dari  lisan mengalir ke lautan aksara yang sempat menyentuh hati nurani pengongsinya, memantulkan pelbagai reaksi. Saya sudah bersiap siaga dengan kemungkinan-kemungkinan yang enak dan menyelerakan atau yang sebaliknya.

Allah Maha Perkasa dan Maha Penentu. Ketika beberapa bulan menemani anakanda bongsu di Negara Matahari Terbit (2010-2011) saya diberikan-Nya masa untuk mencantum-cantumkan cebisan kisah yang terpisah-pisah.
Aura di Jepun yang terasuh dengan nilai kekeluargaan yang erat berkasih sayang dan pendidikan yang menyeluruh terutama dari sisi pembacaan dan penglahiran bakat dalam kalangan kanak-kanak amat mengujakan.

Pada pertengahan 2012, akhinya, draf pertama wujud dengan judul sementara 'Mengharum Sukma'.Judul itu mekar dalam mimpi dan jaga, dalam zikir dan doa. Sebab utamanya tidak lain. Saya berhajat untuk mendedikasikannya kepada;
                    i) ahli keluarga terutama allahyarham suami Haji Salim Haji Taib (Agus Salim, SM Hata), allahyarham ibu (Hajah Rimpun Ahmad) dan allahyarham abah (Haji Mohd.Yassin Tahir). Merekalah yang membentuk dan mengukir diri dan peribadi saya selama ini
                   ~ anakanda, menantu dan cucunda yang amat memahami dan terus membakar semangat  untuk berupaya meneruskan cita-cita dan impian. Hasrat itulah jua yang telah diwasiatkan oleh ayah dan datuk mereka itu. Hajat itulah yang terbaik, tiada pilihan.

                     ii) masyarakat umum, terutamanya golongan pendidik. Pendidik, sebenarnya bukan hanya di bilik kuliah/darjah. Sebenarnya, kita ialah 'cikgu' walau di mana. Justeru, pangalaman yang tepu dalam pelbagai bidang perlulah dimanfaatkan. Berkaryalah. Dengan meninggalkan hasil penulisan, pendidik hidup sepanjang zaman, buah fikiran dikongsikan dengan lebih luas, bermakna dan bijaksana. Pendidik-penulis perlu meluweskan peranan, tugas dan tanggungjawab demi dakwah dan ibadah, insya-Allah.
                     ~ penulis. Lorong yang kita tempuhi berliku dan berkerikil. Namun, dengan niat, usaha dan doa, Dia yang Maha Pemurah dan Pengasih. Akan ditunjukkan-Nya jalan yang mudah. insya-Allah.  
                     ~ semua pihak. Kalian dan kita semua amat perlu menjadi penjana kuasa kata yang  terbaik/wajar yang cemerlang. Kata berkuasa menjadi pendorong. Kata berkuasa membahagiakan persekitaran. Kata jua berkuasa sebagai penyambung nyawa!

Beberapa bulan, manuskrip saya arak ke sana ke mari. Allah menentukan jua. Saya mengambil keputusan untuk menerbitkannya sendiri..
Dan saya amat yakin, kata yang berkuasa di dalam sanubari bahawa tiada jalan mudah untuk melunasi tanggungjawab ini, saya gagahi lorong nan terbentang. Bulan bintang bergemerlapan!
Terima kasih kepada semua, terutama anakanda Nor Azzah (editor) yang menyuntikkan nilai tambah yang amat diperlukan. Kata bagai air yang mengalir, pelengkap takdir, perindah zikir!


Sabtu, April 28, 2012

Titipan ke-23: Sebuah Memoir: Kuasa Kata dari lisan mengalir ke lautan aksara

Zaman kanak-kanak melakarkan dan memahatkan kenangan yang sukar dipadamkan daripada ingatan. Maka itu, orang dewasa dituntut agar merancang hanya yang baik-baik untuk mereka.



Tugas ini besar, besarlah lagi cabarannya.
Tanggungjawab ini menggugah perasaan,
tergugahlah jua fikiran kita.
 

Dalam Sebuah Memoir; Kuasa Kata dari lisan mengalir ke lautan aksara, saya bermula dengan kanak-kanak hingga ke era pesaraan. Setelah 34 tahun 6 bulan 28 hari bertugas sebagai pendidik, saya terpanggil untuk berkongsi sekelumit ilmu dan pengalaman yang dipinjamkan-Nya. Tambahan pula, Allah menentukan, saya juga berkarya.

Mendidik dan berkarya tepu persamaan
kedua-dua bidang ini saling melengkapi dan
memperindah peranan dan kehidupan!

Saya tidak mungkin memutar kembali masa lampau untuk dikendalikan dengan lebih baik. Namun, saya mungkin berupaya untuk melontarkan idea agar yang sudi membaca dan mencerna beroleh sesuatu yang bermakna, insya-Allah.

Daripada hal dan karenah kanak-kanak dalam kalangan keluarga, saya menyelusuri kanak-kanak di sekolah rendah yang saya gulati selama lapan tahun. Kemudian, pengalaman tersebut saya olah untuk menangani remaja di sekolah menengah dan di maktab perguruan. Rezeki menyebelahi saya. Peluang untuk merasakan denyut nadi dan nafas remaja dan dewasa dalam kalangan masyarakat penulis mendidik saya agar peka dan prihatin akan pengisian program untuk mereka.

Perjalanan ini sesungguhnya semerbak mewangi
meski beronak duri.
Saya melewatinya dengan debar dan getar nikmat
kerana wadahnya bahasa dan sastera keramat!

Saya persembahkan karya terbaharu ini
ke takta rasa dan bicara kalian nan budiman.
Teriring doa dan harapan
ada yang dapat dimanfaatkan,
sesiapa yang tertempias, maaf dipinta.

Alhamdulillah.
Terima kasih, semua.

Mahaya Mohd.Yassin
Sabtu, 6 Jamadilakhir 1433/28 April 2012

Selasa, April 10, 2012

Titipan ke-22: Bermula dengan Kanak-kanak (1)

Pendidikan untuk generasi baharu sebenar-benarnya bermula lebih awal. Ketika pertama-tama pasangan teruna dara berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga bahagia, pendidikan bakal zuriat sudah dirancang mengikut syariat agama.

Bermula dari situlah diteliti dan dihalusi setiap langkah agar hasrat menjadi hamba dan khalifah-Nya, dapat dilunasi dengan bijaksana dan mengikut landasan Islam.

Anak ibarat kain putih yang bersih. Mereka perlu kita didik dan asuh agar mengenal dan mengetahui hakikat ketuhanan sebagai asas tauhid yang kukuh. Sebelum berumur tujuh tahun, mereka penyerap segala-sagala yang diterapkan oleh kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga, masyarakat serta persekitaran mereka. Lantas, jika aura dan aroma alam di seputar mereka positif, optimis dengan hala tuju duniawi dan ukhrawi yang pasti, ke situlah mereka pergi, insya-Allah.

Daripada pemikiran inilah terjana idea untuk melaksanakan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Puisi Kanak-kanak, 7 April 2012 yang lalu, mengikut keupayaan yang dipinjamkan-Nya kepada saya. Terima kasih, ya Rabbi...

Selasa, 18 Jamadilawal 1433/10 April 2012

Rabu, April 04, 2012

Titipan ke-21: Mesyuarat GAPENA ke-41 & Hari Sastera Nasional XV

Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, GAPENA, persatuan-persatuan penulis Melaka, pemakalah, tamu, peserta, petugas dan seluruh warga Melaka yang menjayakan Mesyuarat Agung GAPENA ke-41 (29 Mac -30 Mac) dan Hadiah Sastera Nasional XV (31 Mac - 1 April).

Melaka yang memang mencipta sejarahnya yang tersendiri termasuklah moto atau cogan kata negerinya yang luar biasa - "Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia", "Melaka Bandar Raya Warisan Dunia, UNESCO" dan "Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau".

Kedua-dua acara turut mencatat sejarah kerana berlangsung secara berurutan. Mesyuarat Agung GAPENA menyaksikan kepimpinannya beralih tangan. Ketua Satu yang baharu menggantikan tokoh berwibawa yang banyak berjasa, Tan Sri Ismail Husin ialah Datuk Wira Abdul Latif Bakar. Ketua Stua ialah datuk Zainal Abidin Borhan, Setiausaha Satu Borhan Md. Zain, Setiausaha Dua Osman Ibrahim, Bendahari Dr. Hashim Ismail. Jawatankuasa yang terpilih ialah Datuk Samad Maharuddin, Dr, Salleh Rahamad, Jasni Mat Lani, Datuk Mansor Abdullah dan Datuk Zainal Rashid Zahidi.

Hari Sastera kali ini dalam suasana yang gilang-gemilang, tepu dengan sesi percambahan fikiran dan gugahan perasaan. Majlis bacaan Yasin, perasmian dan penutupan, pembentangan kertas kerja, Pengucapan Puisi, Kenduri Sastera, termasuk menelusuri Sungai Melaka dan kenduri ikan bakar di Umbai.

Sepanjang perkampungan itu, akhbar Melaka Hari ini merakamkan kegiatan tersebut dengan meluas. Lebih 300 orang peserta dari Thailand, Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia sendiri pulang dengan fikiran dan kenangan untuk dicerna dengan matang. Apakah kesannya?

Mampukah majlis tersebut membuka mata pihak-pihak tertentu agar memartabatkan bahasa dan sastera dengan bersungguh-sungguh, demi pembinaan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berjati diri? Tercabarkan pemikiran dan semangat golongan pelapis untuk meneruskan perjuangan ini agar terbina peradaban yang dihasratkan? Adakah 14 resolusi yang dikemukakan oleh GAPENA mendapat perhatian kerajaan dan pihak berwajib? Dan seribu lagi persoalan lain yang menerjah. Sesungguhnya, perjuangan baru bermula...