Jumaat, Disember 31, 2010

Imbauan Ke-10: Pendidikan Ilmu Alam

Subhanallah! Buat pertama kalinya, hari ini Jumaat, 25 Muharram 1432 bersamaan 31 Disember 2010 saya menyaksikan salju di Kusatsu, Jepun. Sejak jam 9.30 pagi, salju turun dengan santun. Mula-mula gerimis salju gugur berselirat di tiup angin ke sini sana. Sejam kemudian, gerimis beransur berat dan lebat menghantar dingin.
Anak-anak jiran dengan keluarga masing-masing keluar menikmati kejadian Allah. Riangnya mereka, meski saban tahun pengalaman bermain salju tidak serupa.

Dari jendela rumah...

Segera terimbau ketika saya masih kanak-kanak. Pada musim-musim hujan Abah dan Emak 'membenarkan' kami bermain hujan. Kami bersama-sama membersihkan tempayan air, memberus simen dan longkang. Dan tidak lupa kami adik-beradik bermain tarikh upih di tengah-tengah air yang menggolek di halaman rumah.

Anak-anak jiran mula keluar bermain salju.

Sebelum dan seleps itu, Abah dan Emak bercerita darihal awan, mega, mendung, hujan, gerimis, renyai, rintik-rintik, lebat, hujan angin, guruh, kilat, kilat sabung-menyabung, petir, dentuman petir, panahan petir, halilintar, pelangi dan macam-macam lagi...

Pemandangan di jalan raya di hadapan rumah.

Adakah cucunda-cucundaku di Malaysia masih berpeluang belajar Pendidikan Ilmu Alam seperti itu?

Kenderaan di hadapan rumah yang dilitupi salju.

Surah Al-Mulk (15) yang bermaksud: Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah rezeki yang dikurniakan Allah. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmat-Nya dan takutlah akan kemurkaan-Nya.)

Selasa, Disember 28, 2010

Imbauan Kesembilan: Mengantarabangsakan Bahasa dan Sastera Negara

Sempena cuti hujung tahun, saya bersama-sama anak-anak dan cucu-cucu menumpang semangkok bersesak-sesak dengan rakyat Jepun ke Disneyland, Tokyo. Selain tepu hiburan untuk semua khasnya kanak-kanak, kompleks ini sarat bahan untuk difikirkan bersama-sama.

Ketika berada di 'It's A Small World', pelancong dibawa melayari alam fantasi dengan menaiki bot khas. Laluan yang melenggang lembut melalui saluran yang warna-warni. amat mempersonakan. Reka letak dan gaya persembahan peristiwa yang diangkat daripada cerita-cerita rakyat yang tersohor dari seluruh pelosok dunia penuh daya kreativiti dan inovasi. Watak, busana, lagu dan latar yang terpilih dan berkaitan, hidup 'bergerak dan bernafas' meraikan tamu.
Oleh sebab, perayaan Hari Natal sedang berlangsung, kesemua watak turut menyanyikan lagu perayaan, tetapi di dalam bahasa Jepun dan Inggeris.

Sekilas saya diterjah beberapa soalan.
Di mana, di Malaysia dapat kita baca, tonton, dengari sekali gus menghayati serta mengagumi bahasa dan sastera kita seperti ini?
Di mana kita dapat memperkenalkan watak-watak cerita rakyat kita yang termasyhur? (Di perpustakaan pun, belum pasti. Jika pun ada, masih tersembunyi dalam buku yang 'tidak menyelerakan' hati nurani kanak-kanak. MMY)
Di mana dapat kita perdengarkan bahasa kita dilafazkan dengan rasa kecintaan dan kekaguman yang membanggakan?

Bahasa dan sastera kita di lopaknya sendiri, bagaimana?

Kita mesti bersatu dalam perjuangan mengantarabangsakan bahasa dan sastera negara kita!

Selamat berjuang dan beribadah.

Selasa, Disember 21, 2010

Imbauan Kelapan:Mengasah Kreativiti

Pada musim cuti ibu bapa ada banyak waktu untuk bersama-sama anak-anak. Kita dapat saling berbincang dan berhujah untuk menzahirkan fikiran dan kegeraman. Kita dapat saling meluahkan rasa kasih sayang atau hasrat nan terpendam. Kita dapat saling mempelajari kehebatan dan kekurangan diri, untuk memudian bertindak dengan lebih cendekia dan islami.

Ingatlah, tidak akan datang lagi masa seperti itu untuk kali keduanya!

Justeru, dengan sabar dan reda kita hadapi karenah mereka sebagai pendidik utama dan pertama yang amat unggul.

Pada musim cuti juga anak-anak berganda-ganda semangat, tenaga dan keinginan mereka untuk mencuba yang baharu, aneh dan mengujakan. Malah saya fikir, ketika inilah mereka amat kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Saya turunkan sedikit pengalaman yang diharap bermanfaat, dalam konteks ini.
Ketika kami menyewa sebuah rumah teres pada sekitar tahun 1978, tiga orang anak kami berusia dalam lingkungan dua hingga enam tahun.

Suatu hari, sebaik kami pulang dari sekolah, tuan rumah datang bercekak pinggang di pintu pagar. "Cikgu, nanti nak pindah, cat balik dinding rumah ni. Tengok! Habis diconteng-conteng dek anak-anak cikgu..."

Rupa-rupanya memang benar, bukan sahaja dinding di bahagian hadapan rumah yang penuh lukisan 'abstrak' dan 'maklumat aneh', dinding di ruang tamu pun dah 'menjadi'.

Setelah berjanji untuk mematuhi arahannya, tuan rumah pun beredar.
Saya dan suami mulanya terkejut dan geram juga. Namun apabila melihatkan tiga beradik sedang tidur saling berpelukan, kami serentak tertawa berderai-derai.
Kami segera berdoa agar diberikan-Nya petunjuk dan rahmat.
Ingin tahu apa yang kami lakukan?

i) Kami belikan kertas-kertas lukisan dan alat tulis lain untuk mereka 'pindahkan' hasil di dinding sebaik mungkin ke atas kertas tersebut,

ii) Karya yang terbaik kami hantarkan kepada Editor majalah dan akhbar kanak-kanak. (Alhamdulillah, lukisan anak yang sulung pernah menghiasi kulit Dewan Pelajar pada tahun 1979),

iii) Lukisan-lukisan yang sudah dipindahkan kami pamerkan pada sudut khas di ruang tamu. Setiap masa terluang, kami bimbing mereka memperkatakan kelebihan dan keindahan karya serta mengaitkan dengan cita-cita dan harapan mereka.Kemahiran berbahasa yang empat (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) kami manipulasi daripada ciptaan mereka sendiri,

iv) Kami ambil gambar karya asli di dinding untuk dokumentasi,

v) Kami bersama-sama anak-anak mengecat dinding dengan rasa reda dan puas. Kami titipkan, "Bagus! Cantik lukisan-lukisan ni, Tapi semua perkara dan benda ada tempatnya yang tersendiri. Dinding ini milik tuan rumah."

vi) Sebagai hadiah, kami melanggan majalah dan akhbar kanak-kanak untuk mereka bertiga, atas nama mereka. Ruangan khas untuk mereka menumpahkan dan mengasah kreativiti tepu dan berbaloi.

Nasihat Saidina Ali Ibni Thalib 'Mengajar adalah belajar.'
Dan kata pujangga 'Dunia ciptaan Tuhan ini ialah madrasah. Kitalah pelajarnya.'

Salam takzim.