Selasa, Disember 21, 2010

Imbauan Kelapan:Mengasah Kreativiti

Pada musim cuti ibu bapa ada banyak waktu untuk bersama-sama anak-anak. Kita dapat saling berbincang dan berhujah untuk menzahirkan fikiran dan kegeraman. Kita dapat saling meluahkan rasa kasih sayang atau hasrat nan terpendam. Kita dapat saling mempelajari kehebatan dan kekurangan diri, untuk memudian bertindak dengan lebih cendekia dan islami.

Ingatlah, tidak akan datang lagi masa seperti itu untuk kali keduanya!

Justeru, dengan sabar dan reda kita hadapi karenah mereka sebagai pendidik utama dan pertama yang amat unggul.

Pada musim cuti juga anak-anak berganda-ganda semangat, tenaga dan keinginan mereka untuk mencuba yang baharu, aneh dan mengujakan. Malah saya fikir, ketika inilah mereka amat kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Saya turunkan sedikit pengalaman yang diharap bermanfaat, dalam konteks ini.
Ketika kami menyewa sebuah rumah teres pada sekitar tahun 1978, tiga orang anak kami berusia dalam lingkungan dua hingga enam tahun.

Suatu hari, sebaik kami pulang dari sekolah, tuan rumah datang bercekak pinggang di pintu pagar. "Cikgu, nanti nak pindah, cat balik dinding rumah ni. Tengok! Habis diconteng-conteng dek anak-anak cikgu..."

Rupa-rupanya memang benar, bukan sahaja dinding di bahagian hadapan rumah yang penuh lukisan 'abstrak' dan 'maklumat aneh', dinding di ruang tamu pun dah 'menjadi'.

Setelah berjanji untuk mematuhi arahannya, tuan rumah pun beredar.
Saya dan suami mulanya terkejut dan geram juga. Namun apabila melihatkan tiga beradik sedang tidur saling berpelukan, kami serentak tertawa berderai-derai.
Kami segera berdoa agar diberikan-Nya petunjuk dan rahmat.
Ingin tahu apa yang kami lakukan?

i) Kami belikan kertas-kertas lukisan dan alat tulis lain untuk mereka 'pindahkan' hasil di dinding sebaik mungkin ke atas kertas tersebut,

ii) Karya yang terbaik kami hantarkan kepada Editor majalah dan akhbar kanak-kanak. (Alhamdulillah, lukisan anak yang sulung pernah menghiasi kulit Dewan Pelajar pada tahun 1979),

iii) Lukisan-lukisan yang sudah dipindahkan kami pamerkan pada sudut khas di ruang tamu. Setiap masa terluang, kami bimbing mereka memperkatakan kelebihan dan keindahan karya serta mengaitkan dengan cita-cita dan harapan mereka.Kemahiran berbahasa yang empat (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) kami manipulasi daripada ciptaan mereka sendiri,

iv) Kami ambil gambar karya asli di dinding untuk dokumentasi,

v) Kami bersama-sama anak-anak mengecat dinding dengan rasa reda dan puas. Kami titipkan, "Bagus! Cantik lukisan-lukisan ni, Tapi semua perkara dan benda ada tempatnya yang tersendiri. Dinding ini milik tuan rumah."

vi) Sebagai hadiah, kami melanggan majalah dan akhbar kanak-kanak untuk mereka bertiga, atas nama mereka. Ruangan khas untuk mereka menumpahkan dan mengasah kreativiti tepu dan berbaloi.

Nasihat Saidina Ali Ibni Thalib 'Mengajar adalah belajar.'
Dan kata pujangga 'Dunia ciptaan Tuhan ini ialah madrasah. Kitalah pelajarnya.'

Salam takzim.

Tiada ulasan: