Rabu, November 24, 2010

Imbauan Ketujuh: Riang Ria Berbahasa

Musim cuti kembali lagi. Aduhai, seronoknya dapat bersama-sama anak-anak! Inilah peluang dan ruang untuk kita membimbing mereka mengemas rumah, memasak, membasuh kereta, menyusun buku-buku di perpustakaan keluarga atau melancong bersama-sama. Pastinya segala kegiatan berlangsung dalam aura komunikasi dan interaksi yang ceria, dan bermakna. 'Bermakna' pada saya, anak-anak memperoleh banyak nilai murni yang tersalur melalui bahasa yang segar, santun dan berkualiti.

Mendidik anak-anak dalam kemahiran berbahasa kini, amat mencabar. Kita perlu 'berperang dan menentang' tarikan luar yang hebat dan memukau. Justeru, ketika bercutilah kita mengeksploitasi suasana tersebut sebaik dan semesra mungkin. Pengalaman saya (kira-kira 25 tahun) yang lalu ketika mendidik tiga orang putera, dapat dimurnikan dan difikir-fikirkan, mungkin.

i) Oleh sebab cuti kita ialah acara keluarga, maka kita dan anak-anak elok merancang pengisiannya bersama-sama. Galakkan mereka memberi cadangan serta sebab-sebab pemilihan. Bahaskan dengan sopan dalam suasana santai.

ii) Lebihkan kegiatan di luar rumah, seperti melawat muzium, ke taman tasik, ke perpustakaan, ke zoo, ke pusat beli-belah, menziarahi keluarga di kampung dan melancong ke tempat peranginan.

iii) Rancang kegiatan seputar rumah sesuatu yang menarik dan ada peluang untuk meningkatkan kemahiran berbahasa seperti menanam sayaur-sayuran dan membina buku skrap. Nanti, mereka akan menuliskan atau melakarkan perkembangan, pengamatan atau kesimpulan mereka sendiri.

iv) Bawa bersama-sama buku nota/catatan, alat tulis, pensil warna, kertas lukisan, berus dan warna, kertas surat khabar, botol air, tikar, radio serta keperluan lain.

v) Maklumkan sedari awal hasrat kita agar mereka memerhati, mengamati serta dapat menghimpunkan manfaat di sesuatu tempat. Misalnya, pandu dan galakkan mereka menggunakan deria dengar, deria lihat, deria sentuh, deria rasa dan deria hidu (mana-mana yang munasabah). Kesemua itu akan dituliskan/dicatatkan/dilukiskan di dalam buku masing-masing. Setiap hasil ditambah degan pernyataan perasaan masing-masing seadanya. Kenapa? Berikan mereka masa untuk berhujah sesama sendiri.

vi) Kita perlu pantau kegiatan mereka dengan kata-kata semangat atau dorongan agar mereka terasa kita bersungguh-sungguh inginkan mereka 'seronok sekali gus bijaksana'.

vii) Setelah selesai, setiap anak berpeluang menunjukkan dan menerangkan hasil masing-masing. Yang lain dipandu agar mengulas dan menambah dengan bahasa yang baik.

viii) Kita puji dan hargai semua usaha dengan ikhlas; berikan cenderamata berbentuk buku dan pamerkan di ruang Bacaan Keluarga selama sebulan. Sebagai kesimpulan, asuh mereka mengamati, mencintai serta mengagumi ciptaan Allah Yang Maha Perkasa. Alhamdulillah!

Semuanya berlangsung dalam suasana kejelekitan kasih sayang keluarga menerusi pengucapan bahasa dan bahasa badan yang bermakna. Teriring dengan usaha itu ialah penjanaan modal insan yang prihatin, bertolak ansur, berdaya saing, bertanggungjawab dan bersyukur. Insya-Allah!

Siapa hendak memulakannya? Siapa lagi? Kitalah, bonda mereka guru yang pertama dan utama!

Mungkin, para bonda di luar sana ada pengalaman lain yang ingin dikongsikan?

Selamat mencuba dan semoga berjaya. Selamat bercuti bersama-sama keluarga dalam riang ria dan limpahan rahmat daripada Yang Maha Esa. Amin.

Terima kasih.

Tiada ulasan: