Alhamdulillah, saya antara insan yang amat bertuah kerana dapat muncul di corong radio meskipun bukan sebagai juruhebah. Sebenarnya, selepas Tingkatan V tersemat cita-cita untuk menjadi juruhebah. S.M Salim, Norlidar Saidi dan Azhar Haji Yusof ketika itu menjadi pujaan. Seronok rasanya 'bermain dengan kata-kata di ruang udara'. Dua pucuk surat permohonan dilayangkan ke Federal House. Apabila tiada balasan dan kesibukan kian menerpa, cita-cita itu tinggal kenang-kenangan belaka.
Namun, pada bulan Februari 1994, Hajah Cik Putri Kamariah Megat Ramli, Pengetua Maktab Perguruan Raja Melewar ketika itu menyambut pinangan Pengarah Radio Malaysia Negeri Sembilan untuk menyunting saya menjadi Karyawan Tamu di udara. Setinggi-tinggi terima kasih dikalungkan kepada kedua-dua ketua jabatan yang prihatian, bertanggungjawab serta proaktif ini. Sejak itu hingga kini, bermulalah rancangan 'Sari Bahasa: Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul' di stesen radio itu. Rancangan selama lebih kurang lima minit itu disiarkan pada pagi Isnin dan Selasa dan ulangan ialah pada Rabu dan Khamis
Sari Bahasa (SB) amat sederhana. Penerbitnya yang pertama, Puan Dahlia Atan "mohon segmen perbincangan santai khusus untuk para suri pendengar setia, darihal bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara kita. Contohnya, hal-hal kesalahan ejaan, ayat-ayat mudah, perbendaharaan kata yang baharu, hukum 'D-M' dan sebagainya.
Sebagai rancangan yang baharu, pelbagai reaksi sampai ke telinga saya. Banyak yang mempersoalkan SB, banyak juga yang menyatakan kegembiraan kerana tidak banyak sedikit dapat membantu anak-anak mereka. Pada saya semuanya perkara lumrah; ada yang suka dan ada pula yang sebaliknya. Semuanya saya cerna dengan reda. Semuanya membijaksanakan saya, insya-Allah.
Satu peristiwa yang mengesankan sekali gus terpahat kemas dalam ingatan terukir dua bulan selepas itu. Secara kebetulan, panggilan seseorang berjaya menembusi talian di Bilik Pengajian Melayu dan ketika itu saya ada di sana.
Setelah banyak kali memohon maaf kerana menggangu serta menyatakan sudah banyak kali membuat panggilan, sang pemanggil memperkenalkan diri. Beliau suri muda yang baru mempunyai seorang anak berusia dua tahun. Suaranya yang lunak dan santun membuatkan saya terus terpegun.
"Puan, anak saya tu tak pandai cakap langsung. Yang keluar hanya bunyi-bunyi yang entah apa-apa. Saya bimbang dia tak boleh bercakap bahasa Melayu..."
Saya teruja amat ketika menjawab, banyak berdasarkan pengalaman peribadi.
Justeru, nasihat saya seperti jua penegasan kepada diri sendiri. Antaranya "Gunakan bahasa Melayu sebaik mungkin ketika berkomunikasi. Jangan hiraukan bahasa pertuturannya. Yang penting kita kena sediakan persekitaran bahasa yang kondusif, bermakna dan mesra. Anak itu sedang mengamati persekitarannya untuk dipelajari dan diteladani...".
(Anak bongsu saya lambat bercakap. Ketika usianya dua tahun dua bulan beliau masih menyebut bunyi-bunyi 'ganjil'. Kami hampir membawanya ke doktor. Suatu hari, "Mak, adik dah lapar, ni." Apa lagi, gempar sebuah rumah apabila ayatnya dalam bahasa Melayu baku!)
"Saya nak datang belajar dengan Puan," suara lunak itu mengharap.
"Silakan. Boleh, boleh. Ada kenderaan, jemputlah ke rumah. Tinggal di mana, Puan?"
"Bangi, saya tumpang suami saya bila-bila dia ke Negeri Sembilan nanti, Puan."
"Boleh, boleh. Suami berniaga?" Pantas saya menyoal, tanpa berfikir panjang.
"Hmm, pemandu lori balak..."
Saya terkelu beberapa detik. Segera kalbu terasa kembang diapung syukur dan riang. Kalaulah semua suri begini peka, prihatin, mengambil bena dan bertanggungjawab akan bahasa Melayu anak-anak mereka...
Aduhai, tugas dan peranan saya sebenarnya semakin berat dan mencabar! Tanggungjawab saya kian menuntut iltizam dalam 'kebahagiaan' yang tidak terungkapkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan