Isnin, November 15, 2010

Imbauan Keenam

Kisah ibu muda yang prihatin akan perkembangan dan kemajuan bahasa anak kecilnya dalam Imbauan Kelima yang lalu, mendapat reaksi daripada seorang ibu yang juga prihatin akan hal ini. Pengirimnya itu tidak saya kenali. Pesan beliau "...tolong cadangkan langkah-langkah agar anak-anak saya tertarik untuk berbahasa dengan baik serta rajin pula membaca."

Alhamdulillah, beberapa panduan ada tersisip dalam rencana saya berjudul 'Perpustakaan dan Sastera Kanak-kanak' rencana fokus majalah Dewan Sastera keluaran September yang lalu. (Terima kasih Dewan Sastera kerana menyiarkan rencana tersebut.)

Sebagai tambahan dan sekadar berkongsi pengalaman, saya sarankan kita ibu harus juga ada, jika tidak banyak sekelumit pengetahuan asas tentang bahasa dan berbahasa. Oleh sebab ibu ialah pendidik pertama dan utama dalam sesebuah keluarga, ibu dijadikan teladan dan rujukan terpenting. Justeru, kita tidak ada pilihan kecuali menjadi lebih hebat, mahir dan berwibawa daripada anak-anak kita.

Kita sedia maklum bahawa kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis amat penting digabunjalinkan pada setiap masa. Oleh sebab itulah kita perlu 'ligat' demi perkembangan dan pemantapan bahasa anak-anak.

Contohnya pertama, kita perlu menuturkan bahasa yang betul dan santun agar mereka mendengar yang baik-biak sahaja.

Kedua, setiap kali mereka bertutur, kita puji jika bahasa mereka hampir betul serta dengan spontan baiki mana-mana yang kurang, Mungkin sebutan dan intonasinya kita perbaiki.

Ketiga, kita mesti meluangkan masa yang berkualiti untuk membaca bersama-sama mereka atau membacakan bahan/gambar kepada mereka. Pada kesempatan ini kita bersoal jawab, menyanyikan puisi, lakonkan episod menarik, memohon mereka bercerita versi mereka pula atau mendapatkan pandangan mereka.

Keempat, setelah berlisan galakkan mereka menulisakan pendapat, ungkapan yang dipilih, atau melukis apa-apa yang mereka suka berdasarkan bahan bacaan.

Sebenarnya, keempat-empat sesi ini ialah peluang keemasan untuk kita menyuburkan perasaan kasih sayang serta menyemai nilai-nilai murni dalam suasana yang kondusif. Keempat-empat kemahiran ini juga hendaknya dilangsungkan dalam keadaan santai tetapi meriah dan ada unsur kesungguhan.

Tempatnya?
Di rumah, di dalam kenderaan, di perpustakaan awam, di kedai buku, di kedai makan, di perhentian; bas mengikut kesesuaian.
Masanya?
Bila-bila yang sesuai, namun sebaik-baiknya setiap masa. Contohnya, sedang berehat, sebelum tidur, ketika menyuapkan makanan, ketika beriadah dan membeli-belah.
Bahan bacaan?
Pelbagai, menarik, berwarna-warni, yang baharu dan bermutu seperti buku besar (Big Book), jenis 'pop-up', majalah, risalah, iklan, akhbar, atlas, ensiklopedia dan kamus. (kamus umum, kamus bergambar, kamus sinonim, kamus peribahasa, kamus dwibahasa, tesaurus)

Nampak rumit, kompleks dan menyusahkan, bukan?
Ah, tidak. Anak-anak kita amat dahaga akan pengisian yang bermanfaat demi masa depan mereka yang lebih mencabar. Apabila kita bersiapa siaga dengan ilmu, kaedah dan pelaksanaan yang terancang dan bermatlamat, mereka pasti berasa seronok dan sekali gus bijaksana.

Pada minggu pertama atau bulan pertama kita terasa sedikit sukar, mungkin. Namun percayalah, apabila kita laksanakan secara istiqamah (tekal), bersungguh-sungguh dan ikhlas, kejayaannnya pasti kita tuai dengan rasa syukur dan nikmat yang tak terungkapkan. Bukankah kita pendidk pertama dan utama?

Bukankah kita juga ibu yang bertanggungjawab dan hebat?

Selamat melaksanakan peranan, tugas dan amanah!

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha!
Semoga pada hari yang penuh berkat ini, kita mendapat petunjuk dan rahmat daripada Dia Yang Maha Bijaksana. Amin.

2 ulasan:

Nisah Haji Haron berkata...

Salam Puan,
Benar apa yang puan catatkan ini. Cuti sekolah ini, saya mengambil keputusan untuk membuat 'kelas' bersama-sama anak-anak yang sudah bersekolah di laman rumah. Si kecil Salsabila dan Mustaqim juga tidak mahu ketinggalan, lalu dia boleh bermain-main di sekitar mereka sambil membelek-belek buku kegemaran atau melakar sesuatu dengan pen dan kertas yang diberikan.

Sudah puas rasanya mencari tempat yang baik yang boleh memberi tiusyen Bahasa Melayu untuk anak-anak, akhirnya saya fikir, biar saya sahajalah yang mengajar. Mereka sangat teruja dan lebih tersentuh apabila anak-anak berkata, "Mama, you are a good teacher. You should come and teach in my school."

Barangkali, merekalah anak-anak murid yang saya dambakan selama ini...

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Salam Puan Nisah,
Alhamdulillah dan terima kasih atas pandangan.
Sesungguhnya anak-anak Puan (cucu-cucu saya) yang berlima itu amat mendambakan didikan terunggul dan terbaik daripada guru utama dan pertama mereka, iaitu bonda mereka sendiri.

Tepat benar tindakan Puan itu. Sebelum kita 'serahkan' mereka (kalau perlu) kepada guru tuisyen, kita laksanakanlah 'tuisyen' asas kita sebagai memenuhi tugas, tanggungjawab dan amanah Allah.
Dalam surah Al-Kahfi (46) Allah berfirman "Harta benda dan anak-pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan."

Sambil itu, kita berpeluang mengeratkan kasih sayang dan membentuk kejelekitan, memperkasa nilai-nilai murni dan mewujudkan rasa kekaguman dan penghargaan sesama ahli keluarga, terutama kepada bonda mereka sendiri.

Kita berdoa agar usaha dan ibadah kita yang sekelumit ini 'menjadi perhiasan di dunia dan di akhirat' nanti. Amin!

Kalaulah ada Dasar Pendidikan Keluarga Negara yang menekankan kepentingan air tangan bonda tercinta dalam membentuk wajah, roh dan semangat generasi muda, pastilah permata keluarga berupaya dicanai menjadi permata negara yang hebat amat! Insya-Allah.
Terima kasih.