Rabu, Januari 05, 2011

Imbauan ke-11: Pesona Buku



Seperti biasa, jika kami ke pusat beli-belah, kedai buku yang kami cari dahulu. Bahagian buku kanak-kanak yang mula-mula saya terpa.

Sejak kebelakangan ini, mekar amat rasa keterujaan dan kekaguman akan buku kanak-kanak di Jepun di sanubari.

Semakin dilihat dan dibelek , semakin dinikmati dan dihayati, kian memikat dan memukau pesona buku yang dikhaskan untuk generasi pelapis ini. Buku kanak-kanak mereka amat kreatif dan interaktif.

Pada saya, pesona buku kanak-kanak mereka menyerlah kerana faktor-faktor yang berikut.

  • Saiz; pelbagai - kecil, sederhana besar, berkulit keras. Banyak buku besar berkulit keras.
  • Bentuk; pelbagai - bulat, bujur, seperti bakul, bunga, rama-rama, muka kucing, buah-buahan, kenderaan dan bentuk lain yang sesuai tema.
  • Ilustrasi; cantik, menarik, 'hidup' pada mata dan fikiran kanak-kanak
  • Warna; pelbagai - terang, banyak dan lembut, banyak,
  • Cerita/Kandungan; pelbagai - malar segar, luas dan luwes - tradisional dan moden; mengeksploitasi imaginasi dan kreativiti, adunan ilmu dan nilai murni secara halus, tambah kosa kata,
  • Gaya Penyampaian; menarik, berkesan, menghiburkan, tidak terlalu didaktik,
  • Kesan bunyi; disisipkan dalam bentuk cakera padat video, bersesuaian dengan cerita dan bentuk,
  • Interaktif; dibaca, dimainkan, dilagukan serta dilakonkan mengikut cakera padat video, ditokok-tambah dengan bahan yang disediakan; dipelbagaikan contoh, sebagai buku bacaan dan juga panduan membuat origami,
  • Pilihan beraneka, menggugah minda dan perasaan.
  • Berusaha menjadikan buku kanak-kanak 'luar biasa' sebagai umpan untuk membudayakan ilmu demi pembinaan insan cemerlang.
Nasihat Saidina Ali ibni Abi Talib; Ilmu adalah lebih baik daripada kekayaan. Kekayaan harus dijaya, sedangkan ilmu menjaga kamu.

Salam takzim.

4 ulasan:

Nisah Haji Haron berkata...

Assalamualaikum Puan Mahaya,
Saya percaya buku-buku begini akan membuka mata penerbit tempatan dalam memperkembangkan lagi industri penerbitan buku kanak-kanak. Sayangnya, tidak ramai yang sudi membuka mata dan menerima pembaharuan yang telah lama diamalkan di negara-negara maju. Buku kanak-kanak kita masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Kita semua harus terus berusaha, insya-Allah.

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Waalaikumussalam Puan Nisah,
Ya, saya harap sedemikian juga. Penerbitan buku kanak-kanak ialah pelaburan futuristik yang amat berharga kepada individu, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Saya yakin amalan para penerbit kita seperti yang kita tahu, bersifat sementara. Faktor kos yang membelenggu kreativiti, inovasi dan iltizam. Mungkin ada caranya agar semangat berdaya saing kita tergugah dan menjadi hebat juga.
Ayuh, mari kita sama-sama berusaha! Insya-Allah.

Salam takzim, terima kasih.

Bunnybaby berkata...

Assalamualaikum.

Terima kasih atas ceramah puan yang saya ikuti pada satu Seminar Pencinta Buku (kalau tak silap saya), ke mana-mana saya pergi, terutama pesta buku luar negara, pasti buku kanak-kanak yang diterjah dahulu. Walaupun belum memiliki cahaya mata sendiri, saya suka hadiahkan buku kanak-kanak yang menarik ini buat anak-anak saudara.

Buku kanak-kanak memiliki pesonanya yang tersendiri. Orang dewasa macam saya pun sentiasa teruja menelaahnya :-)

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Salam, Saudara Bunnybaby.
Syukur alhamdulillah. Terima kasih atas reaksi yang positif. Saya doakan usaha ini tekal dan bertambah semarak dalam kalangan keluarga kita.Amin.
Mudah-mudahan, usahamu diberkati-Nya serta berupaya diteladani oleh saudara-saudara kita yang lain, insya-Allah. Wassalam.