Selasa, Januari 25, 2011

Imbauan Ke-16: Sikap

Kira-kira 10 tahun yang lalu, saya berpeluang menyertai Bengkel Bercerita di Kuala Lumpur. Bengkel berbayar selama tiga hari itu dikendalikan oleh seorang tokoh wanita dari Jepun. Peserta dalam 25 terdiri daripada pengurus tadika, editor, pensyarah, pendidik, penulis dan ibu bapa.

Hari pertama terasa amat singkat. Ceramah dan tunjuk cara disisipkan dengan jenaka dan cerita rakyat berunsur kecindan yang menghiburkan tetapi bermanfaat. Hari kedua, saya sampai 15 minit sebelum waktu bengkel. Baru tiga orang yang hadir. Tepat jam 8.30 penceramah terus memulakan bengkel. Jam 9.00, 20 sahaja yang hadir.

Dalam senyuman dan sesekali bersulam tawa mesra, beliau bertanya, "Kenapa lambat?"

Ada suara menjawab, "Jalan sesak."

Penceramah bertanya lagi, "Sekarang, lihatlah di atas meja tuan puan. Lihatlah di sekitar, atas lantai, atas kerusi kosong..."

Banyak yang menjawab, "Sampah bertaburan."

Si mulut gatal menyambung, "Tak ada bakul sampah."

Penceramah masih tersenyum manis meneruskan bicara. "Kami dididik untuk bertanggungjawab akan masalah sendiri. Lihat," kata beliau sambil meronyokkan saki-baki guntingan kertas dan kain perca yang sempat diambil dari atas meja.

Bahan tersebut diangkatnya tinggi paras kepala, lalu dimasukkannya ke dalam saku kot hitam yang dipakainya. Banyak yang tergamam dan saling berpandangan.

"Ini sampah kita, kita yang mesti membuangnya. Ini bengkel kita, kita yang mesti mematuhi jadual pelaksanaannya. Kita mesti hadir setengah jam sebelum majlis...Ini semua masalah sikap." Tawanya berderai dan panjang. Namun, banyak perasaan terhiris sembilu kenyataan, mungkin.

Di sini, bandar raya, lebuh raya, pasar raya, stesen kereta api, stesen bas, taman perumahan dan kawasan orang ramai bersih dan nyaman. Puspa yang pelbagai warna dan bentuk masih kembang, elok. Tong-tong untuk jenis sampah yang berlainan benar-benar dimanfaatkan. Sudut perokok pun kemas, teratur. Semuanya kerana sikap.

Salam takzim.

2 ulasan:

Nisah Haji Haron berkata...

Puan Mahaya,
Selagi setiap individu tidak mampu menguruskan sampah secara peribadi, saya tidak fikir kita mampu mencapai minda kelas pertama. Bangunan kita pencakar langit, kereta hebat dan mewah, namun, sampah dibuang di keluar dari kereta, keluar dari bangunan juga ada.

Sedang mendidik anak-anak supaya pandai menguruskan sampah dan bukannya menyalahkan "tiada bakul sampah", "tiada orang majlis perbandaran kutip sampah" atau "kerajaan tidak sediakan itu dan ini".

Beralasan memang mudah, melaksanakan itu yang mampu mengubah situasi.

Muhasabah untuk diri saya sendiri juga, puan.

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Puan Nisah yang baik,
Alhamdulillah, gembira amat menerima kunjungan Puan. Terima kasih.

Tahniah dan doa selamat maju jaya dalam usaha mendidik anak-anak menguruskan sampah. Bijak pandai mengingatkan, kita mungkin tidak berupaya mengubah sikap orang lain, tetapi kita ada kuasa mengubah sikap diri dan keluarga sendiri, insya-Allah.

Benar, muhasabah untuk diri kita jua.

Salam takzim.