Ahad, Januari 16, 2011

Imbauan Ke-14: Kedai Buku

Saya selalu mengidam untuk mengunjungi kedai buku yang besar-besar. Meski datang untuk kali kedua atau ketiga, saya tidak pernah berasa jemu. Di sinilah saya dielus dan diuliti ketenangan, keselesaan serta dijengah ilham yang beraneka.

Yang saya terkam dahulu ialah bahagian buku kanak-kanaknya. Di Tokyo, Kyota dan Haneda kedai buku yang besar mempamerkan beberapa rak panjang buku kanak-kanak Jepun yang pelbagai jenis dan format serta amat mengujakan.

Di kawasan sekitarnya disediakan beberapa meja empat segi sama yang kecil. Di situ diletakkan permaianan lego, jigsaw, buku-buku kenderaan dengan bunyi dan lagu tertentu serta buku-buku kecil yang diminati oleh kanak-kanak (2 hingga 4 tahun).

Kawasan ini 'dipagari' beberapa set seti. Di sinilah pula kanak-kanak lain berdiri, duduk, berlunjur dan bersila. Mereka kusyuk membaca gambar, cerita atau menyingkap halaman buku.
Di sinilah, ibu bapa memangku anak-anak yang masih kecil sambil membacakan gambar, bercerita atau berbual-bual dengan mereka. Dan di sinilah juga ibu-ibu muda sambil membelai bayi yang di pangkuan, berkisah tentang buku, dalam keriangan dan kesungguhan.

Semuanya amat memanfaatkan detik-detik bersama-sama buku. Mereka mematuhi 'peraturan' ketika di kedai buku!

Saya terkelu melihatkan mereka bersama-sama buku. Mudah-mudahan cucu-cucu saya pun begitu...

Surah Ibrahim (24): 'Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu, kalimah yang baik bagai pohon yang baik; pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.'

Tiada ulasan: