Isnin, Januari 10, 2011

Imbauan Ke-12: Budaya Membaca

Ketika di sekolah menengah, guru-guru saya sering memotivasi pelajar-pelajar agar cinta akan tabiat membaca. Apabila berpeluang mengikuti Program Pertukaran Belia-Malaysia ke Kanada selama tiga bulan (1972), saya berasa kagum melihatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di sana. Dan kini, saya lebih kagum, teruja dan mengerti. Masyarakat yang cinta dan prihatin akan ilmu dan pengalaman serta bijak menguruskan masa dan peribadi sinonim dengan budaya membaca.

Kita maklum bahawa masyarakat maju membaca di mana-mana sahaja. Amat benar. Mereka membaca ketika menunggu giliran membeli tiket, menaiki bas, kereta api dan kapal terbang, menemani anak-anak bermain-main, menunggu isteri membeli-belah di pasar raya, menunggu suami berurusan di mesin automatik dan di mana-mana sahaja.

Mereka juga membaca sambil duduk atau berdiri di dalam kenderaan. terutamanya kereta api laju, shinkansen. Mereka membaca sambil menemani anak-anak yang turut bermain dan membaca di kedai-kedai buku yang besar. Mereka juga membaca ketika di dalam lif. Dan mereka juga membaca ketika turun naik tangga bergerak!

Apakah yang mereka baca?
Nampaknya, tabiat membaca telefon bimbit menyaingi tabiat membaca bahan bacaan yang normal seperti surat khabar, buku dan komik. Namun, hal ini sedemikian hanya dalam kalangan remaja. Yang lain masih mengamalkan membaca novel, buku akademik, majalah dan akhbar.
Malah, oleh sebab shinkansen lengkap dengan meja tulis juga untuk meletakkan makanan, banyak penumpang turut menyudahkan tugasan dalam perjalanan.

Kami pernah menaiki shinkansen dari Tokyo ke Kyoto jam 5.30 pagi. Dalam masa dua jam lebih itu, penjawat awam dan swasta selesa sekali menyelesaikan tugasan seperti menyemak kertas kerja, memeriksa buku, mencatat penyata kewangan dan menulis diari pejabat. Mereka benar-benar menghayati kegiatan masing-masing sehingga dapat 'memisahkan' dunia luar dengan tumpuan peribadi. Sikap demikian sudah sebati di dalam diri mereka.

Bilakah masyarakat di Malaysia mampu bertabiat sedemikian?

'Bangsa Berjaya Bangsa Membaca'
'Bangsa Berjaya Bangsa Yang Mengamalkan Manfaat Daripada Pembacaannya'

Surah Az-Zumar (9) : ["Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.]

4 ulasan:

Nur Fatiha Fadila berkata...

Assalammualaikum Mama,

Masakan saya akan melupakan Mama. Seorang sasterawan yang begitu tekun memartabatkan etika bahasa Melayu dalam berkarya dan berbengkel. Tidak akan saya lupa. Terima kasih kerana sudi menjengah laman blog saya itu. Insya-Allah, saya menjadikan Mama sebagai contoh dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera Melayu.

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Waalaikumussalam Anakanda Wardah,

Alhamdulillah dan terima kasih atas ingatan. Teruskan cita-cita dan perjuangan. Kita sama-sama berusaha memartabatkan bahasa dan sastera Melayu, insya-Allah.

Doa kejayaan nan ikhlas,

Mama

Nisah Haji Haron berkata...

Assalamualaikum Puan Mahaya,
Bangsa yang maju menghargai buku dan ilmu. Wujud pula satu bangsa yang suka membakar - manusia dibakar, buku pun dibakar. Bangsa seperti ini tidak layak berada di muka bumi!

Hari ini, sasterawan kita menitik air matanya. Kebodohan mereka yang sangat dangkal pemikiran.

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Waalaikumussalam Puan Nisah,
Ya, amat aneh dan sekali gus membimbangan! Bakar manusia dan buku sambil mendakwa kian bertamadun?

Saya berasa amat terharu membaca kisah air mata sasterawan kita menitis dek perangai yang keterlaluan itu. Mari kita berdoa Pak Lah tenang, sabar dan dalam lindungan Allah sentiasa. Amin.