Rabu, Oktober 27, 2010

Imbauan Kedua

Aduhai, ada kalanya, terlalu banyak idea dan rasa yang hendak disuarakan. Pada masa yang lain pula, tercari-cari sekilas pun tak melintas.
Namun, saya sedar akan keupayaan diri dalam memanfaatkan teknologi terkini. Justeru, kalau tersilap di mana-mana saya mudah merajuk. Maka itulah Suara Hati 'pendiam dan pemalu'!

Sentuhan di perantauan tepu menerjah minda sejak semalam, sehingga saya tidak terpilih hal yang terbaik untuk diluahkan dalam imbauan kedua. Dan, pada saat-saat seperti itulah seseorang menjengok di e-mel. Separuh malam saya dilamun nostalgia yang mengasyikkan.

Subhanallah! Insan budiman itu, bekas pelatih saya yang terjumpa alamat e-mel dan terus menghubungi bekas pensyarahnya. Allah Yang Maha Berkuasa mengizinkan pertemuan saya dengan Nuzulharlina Abdul Rahman yang pernah saya didik di Maktab Perguruan Raja Melewar pada tahun 1991 hingga 1993 yang lalu. Pertemuan ini pula berlangsung ketika kami sama-sama di perantauan. Beliau menyambung pelajaran di UPM, UPSI, bertugas di Kementerian Pendidikan dan kini menyambung lagi di University of York. Alhamdulillah, kembang rasanya hati bekas pendidik yang sempat bersama-sama beliau.
Dalam e-mel pertama, Lina agak ragu-ragu, kemungkinan saya sudah tidak mengenali beliau lagi. Setelah mendapat balasan daripada saya, Lina amat mesra seperti ketika beliau bersama-sama saya, kira-kira 17 tahun yang lalu.

Masakan saya dapat melupakan Lina. Memang, beberapa tahun kemudian, adik beliau Atiah Sakinah turut menuntut di MPRM, Seperti kakaknya, Atiah amat berbakat dalam bidang kemahiran berbahasa seperti pantun, bahas, pidato, deklamasi puisi , penulisan kreatif dan pengacaraan majlis yang dipelajari di dalam bilik kuliah. Kebetulan saya antara yang turut terlibat. Malah Atiah turut menggondol Anugerah Penggerak Bahasa (dalam kalangan pelatih)anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang diwujudkan sekitar tahun 20-an itu.

Pada akhir catatan, Lina mengungkapkan
"Bonda, sehingga ke hari ini, saya masih menjadi pengacara majlis di maktab, di u, di kementerian. Orang yang banyak melatih tertib tutur bicara saya ialah bonda. Terima kasih bonda, tak terbalas budi bonda."

Saya berasa amat terharu menerima pengucapan hati tersebut. Spontan terimbau kisah yang berlaku ketika saya mula-mula mengajar di Sekolah Rendah Tunku Kurshiah, Kuala Pilah, bermula pada tahun 1970. Sejak mula bertugas di sekolah perempuan tersebut, saya dilantik menjadi Penolong Setiausaha Sukan, Setiausaha PIBG, Ketua Guru Rumah Kuning, Pengacara Majlis, Penulis Teks Ucapan dan beberapa lagi. Maklumlah, guru baharu. Banyak portfolio yang disediakan. Saya tiada upaya untuk menolak kerana kesemua itu bidang saya. Saya sangat sayang akan kegiatan tersebut.
Dua tahun berturut-turut saya dan Cikgu Fauziah Ariffin menjadi pengacara majlis Anugerah Tahunan sekolah. Namun, pada tahun ketiga saya menyuarakan usul agar murid dilatih untuk berbuat demikian, Dalam mesyurat majlis itu, saya 'ditembak' dengan soalan-soalan yang mengancam dan mengujakan.
"Ni, majlis rasmi. VVIP yang hadir. Nanti tak betul budak tu buat?"
"Mana ada orang buat, murid yang jadi pengacara?"
dan yang agak sinis sehingga mahu sahaja saya melupakan ungkapan tersebut...
Hanya Pengerusi PIBG ketika itu, Encik Abdul Rahman Yaakob amat tertarik dan bersungguh-sungguh menyokong.
Apabila diberi peluang menjawab, saya dengan tenang menyatakan bahawa itu majlis sekolah yang dikongsi bersama-sama oleh murid, guru dan PIBG. Jadi semua sepatutnya bertanggungjawab secara bersepadu menjayakannya. Bila lagi kita hendak melatih generasi pelapis? Jika murid buat salah, pada mata khalayak itu menghiburkan dan proses belajar yang amat bermakna. Kita pilih murid yang terbaik, kita latih betul, insya-Allah berjaya..."

Akhirnya, Sharifah Kharidah, anak Ustazah Ramlah yang juga mengajar di situ, terpilih. Saya dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk menjayakan hasrat tersebut.

Cabaran itu saya sahut dengan penuh kesungguhan dan semangat keterujaan. Setelah teks diluluskan oleh Guru Besar, saya mula merancang dengan bantuan Ustazah Ramlah. Di rumah saya harap beliau dapat terus melatih murid berbakat itu. Segala pengalaman saya curahkan kepada murid cerdas dan cergas itu. Antaranya, menghayati peranan juruacara, faham akan perjalan majlis, berpandukan teks berlatih bertubi-tubi, pastikan sebutan baku, jeda tepat, gaya memegang teks khas paras dada, cara mengeluarkan suara, masa mewujudkan kontak mata dengan khalayak, cara berdiri serta saat untuk senyum.
Alhamdulillah, Sharifah Kharidah berupaya memenuhi impian saya. Tamu istimewa, Pengarah Jabatan Pelajaran, Pengerusi PIBG, Guru Besar dan kebanyakan penjaga yang hadir tersenyum puas.
Ketika di maktab pun begitu, Lina yang cukup berbakat, mesra, peramah dan ada daya tarikan mula-mulanya diberi peluang untuk mengacarakan majlis-majlis peringkat guru pelatih sahaja. Namun, setelah dilatih beliau terus menunjukkan sikap profesional. Lina menjadi pengacara pelbagai majlis, peringkat maktab dan antara maktab.

Ketika di MPRM, saya dapati pelatih yang berminat dalam bidang bahasa dan sastera lebih menonjol daripada yang lain. Hal ini kerana peluang untuk mereka berinteraksi dan beraksi di luar dalam pelbagai acara jua amat banyak. Sebagai Ketua Pensyarah Persatuan Bahasa Melayu, saya kerap membawa mereka ke DBP, yang sentiasa menganjurkan pelbagai program sastera dan bahasa dan ke penerbitan-penerbitan utama untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. Bukankah pendidik itu mesti lebih bijak, bermaklumat, mahir dan berwibawa daripada murid-muridnya?

Ada antara mereka bukan daripada kalangan pelatih bidang Pengajian Melayu. Yang masih saya ingat, contonya Mohamad Saleh Wasik daripada bidang Sains dan Atiah Pengajian Bahasa Inggeris. Yang lain seperti A.Rashid, Nordin, Nurul Huda, Azizah dan Rafeah Rahman mengharumkan nama MPRM di peringkat kebangsaan dalam bidang bahasa dan sastera selain turut mencipta nama sebagai pemenang beberapa anugerah serta anugerah tertinggi maktab, Anugerah Melewar. Mereka ini pelatih asas. Yang singgah berkursus setahun di MPRM dan yang turut berjuang dalam bidang bahasa dan sastera ada juga yang sebaris dengan penulis dan penggerak negara yang lain. Antaranya Shukri Abdullah, Amirudin Ali, A.Razak Othman, Mohamad Hashim Osman dan Nasir Hassan.

Seperti juga dengan Lina, sebenarnya yang saya sampaikan kepada pelatih, pelajar dan murid saya selama hampir 33 tahun itu, amat sedikit jika dibandingkan dengan yang saya peroleh. Semua itu bukan milik saya. Saya dipinjamkan sekelumit pengalaman yang perlu dikongsikan. Dan amat banyak kekurangan dan kelemahan sepanjang saya bertugas. Kini, giliran kalian untuk melengkapkannya dan wariskannya pula kepada yang berhak.

Insya-Allah kita sama-sama mendapat petunjuk dan reda-Nya! Amin.

3 ulasan:

Nisah Haji Haron berkata...

Assalamualaikum Puan Mahaya,

Alhamdulillah, teruja pula saya membaca catatan ini. Sesungguhnya, saya memahami perasaan itu. Melihat anak-anak didik di dalam bengkel-bengkel penulisan yang dilatih dan telah pergi jauh, membuatkan segala penat lelah hilang serta-merta. Namun, kita sekadar pembimbing yang memandu ke arah yang diharapkan. Selebihnya, diri mereka sendiri yang membawa kehendak dan semangat untuk berjaya!

Mungkin di dalam blog ini juga, puan boleh perturunkan beberapa tips menulis puisi yang baik. Amat sukar mendapat bimbingan penulisan untuk menulis puisi. Setiap entri tidak perlu panjang. Biar sedikit tetapi selalu dan berkesan pula.

Unknown berkata...

Salam Hajah Mahaya,

Semoga sejahtera dan dalam rahmat Allah. Beberapa kali saya mencuba memasukkan blog Suara Hati ke dalam senarai blog yang saya ikuti, tetapi tidak berhasil, sedang beberapa blog lain dapat saya tambahkan ke dalam senarai blog yang saya paparkan di blog saya.

Hajah berada di Jepun kerana bertugas atau ada urusan keluarga? Biar di mana pun, saya mendoakan segala yang baik untuk Hajah. Wassalam.

Awang Sariyan
Beijing

Mahaya Mohd. Yassin berkata...

Assalamualaikum Puan Nisah,
Alhamdulillah, syukran atas pandangan dan saranan.
Memang benar, kita sekadar pembimbing dan pemandu yang sementara dan sekilas. Hanya doa yang mengiringi agar mereka terus cemerlang dan bersedia pula berkongsi pengalaman dengan pihak-pihak lain.
Sebenarnya, hasrat untuk menghasilkan panduan penulisan puisi terbit sejak mula-mula menjadi pendidik di Institut Bahasa, Kuala Lumpur pada tahun 1985. Ketika itu saya ditugaskan mengajar Bacaan Ekstensif dan Penulisan Kreatif. Dan kali ini memang teruja sangat. Insya-Allah akan diusahakan.
Terima kasih, wassalam.