Jumaat, Julai 01, 2011

Titipan Kedua

Nan kurik kundi,
Nan merah saga;
Nan baik budi,
Nan indah bahasa.

Kira-kira dua minggu lalu, saya ke Negeri FM untuk rakaman Sari Bahasa bersama-sama penerbitnya Puan Fazidah Mohd.Yusof. Kompleks Penyiaran bersebelahan SDAR. Kedua-dua institusi ini tersergam indah dan gah di atas bukit di Sungai Gadut.
Ketika kereta kami berhenti di pintu masuk, seorang pengawal yang berpakaian segak, melambai. Sebaik cermin tingkap anakanda saya terbuka, tangannya dihulurkan sambil memberi salam.
"Tuan hendak ke mana? Tuan hendak berjumpa dengan siapa?" Pegawai tersebut santun menyapa.
"Puan Fazidah, untuk rakaman Sari Bahasa,"
Beliau menghulurkan buku rekod kemasukan pelawat, penuh hormat.
Setelah selesai, buku itu saya serahkan kembali dengan ucapan terima kasih.
"Terima kasih kembali, tuan. Silakan. Assalamualaikum!"
Aduhai...kompleks yang molek itu berseri dan mewangi di dalam sanubari!

Tiada ulasan: