Selasa, Julai 05, 2011

Titipan Ketiga

Tuah belalang pada ketingnya
Tuah orang pada budinya


Alhamdulillah, pagi semalam saya ke Sekolah Menengah Seri Sendayan. Aura dan aroma desa nan tenang dan mengilhamkan mengimbau pengalaman dan kenangan lampau. Ketika menikmati seni hiasan taman nan bersih, mentari jingga pudar jam 7.40 mula menebar sinar. Saya terasa asyik menikmati keindahan alam seputar. Dari bahagian sekolah yang di atas bukit, kampung yang masih berselimut kabut lembut amat melekakan. Ruang udara tetap bergema dengan bunyi pesawat bertelingkah dengan siulan unggas.

Tiba-tiba, "Assalamualaikum, Cikgu?" Seorang petugas wanita yang berpakaian kemas menyapa, santun. Sebatang penyapu lidi yang diberi tangkai panjang, di dalam gengamannya.
Saya terkelu dan lambat membalas ucapan beliau. Oleh sebab terasa malu sendiri, saya tergagap-gagap menyoal balik, " Puan, tak musim buah-buahan di sini?" Dan bermulalah perbualan yang mesra antara kami. Terasa kami sudah berkenalan bertahun-tahun lalu.

Suasana intim dan mesra terbawa-bawa ke dewan kuliah. Sesi 'Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul' pantas amat. Guru dan pelajar, sopan, aktif dan sungguh berminat. Isu 'bahasa kepada pokok bunga ros dan tanaman lain' turut menarik perhatian. Aduhai, kaki terasa berat ketika saya melangkah pulang...

Kini alhamdulillah, genaplah lima hari usia Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul. Sekalung tahniah buat teman-teman yang mewujudkan Rafik Masjid PJ. (Masjid Taman Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan). Rafik Masjid PJ wadah interaktif untuk dieksploitasi oleh semua.

Mudah-mudahan, anakanda yang muda belia dapatlah memanfaatkan pelbagai program yang disediakan dengan sebaik-baiknya.

Mudah-mudahan, kesalahan umum pada papan tanda, gegantung, spanduk, latar pentas, lembaran/buku program, laporan, minit mensyuarat dan apa-apa jua penyataan bahasa, dapat kita minimumkan. Insya-Allah.

Daripada Aisyah r.h.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
Menghubungkan silaturahim, berakhlak mulia dan baik kejiranan
boleh memakmurkan negeri dan memanjangkan umur."

Tiada ulasan: