Ahad, Ogos 07, 2011

Titipan ke-10

Saya berasa teruja amat ketika Bahagian Protokol menjemput wakil PEN untuk menerima Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2011, pada hujung bulan lepas. Pasti ada perkara baharu yang akan menambah pengalaman. PEN menerima sehelai Jalur Gemilang dalam majlis yang bersejarah! Tambahan pula semangat 'pahlawan' tetap semarak di lopak jiwa. Maklumlah, saya anak bekas Sarjan Polis.

Apabila melihat Menteri Besar memegang Jalur Gemilang yang telah terikat kemas pada batang kayu bulat, aduhai saya terkelu sedetik. Namun, cabaran untuk membawanya pulang dan memasangnya di pejabat PEN, segera terlerai. Pasti ada manfaatnya, bisik hati.

Ketika cucu-cucu datang untuk berbuka puasa, mereka ghairah menyoal itu, ini. Kibarannya serancak perbincangan dan hujah mereka. Menyelinap rasa bangga menjadi nenek mereka...

Dan malam ini, alhamdulillah genaplah seminggu kita berpuasa. Anak-anak di masjid kian pandai membawa diri sejak hari pertama lagi. Mereka sama-sama bertahlil, berbuka dan bertarawih. Mereka belajar daripada persekitaran yang kondusif. Suri teladan mereka contohi secara beransur-ansur. Mereka memerlukan peneguhan tunjuk ajar dan bimbingan seiring kasih sayang yang tulus dan tekal. Pendidikan madrasah Ramadan, biarlah sebati di dalam diri, insya-Allah!


Menurut Abu Daud, Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya agar mengamalkan doa ini apabila menghadapi kesukaran. "Ya Allah. Rahmat-Mu yang sentiasa aku harapkan, kerana itu janganlah Engkau serahkan urusanku kepada diriku sendiri, meskipun sekelip mata. Perbaikilah urusanku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau."

Tiada ulasan: