Rabu, Ogos 31, 2011

Titipan Ke-13

Al-Fatihah...Sejam yang lalu, saya menerima perkhabaran bahawa 'ayahanda' yang juga suri teladan saya sudah diundang kembali ke pangkuan-Nya. Mata mula berkaca dan imbauan darihal Allahyarham Datuk Hassan Haji Ahmad pun bergema.

Saya berpeluang menyambung pelajaran setelah mempunyai tiga orang putera. Semua pensyarah di Kurus Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Universiti Malaya merupakan sahabat dan kenalan rapat kami suami isteri. Pada tahun pertama, 1979, beliau yang juga Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, ialah pensyarah jemputan kami. Kuliah Pengurusan Penerbitan yang dikendalikannya, amat menarik. Beliau ke kuliah pada sebelah petang, kadang-kadang bersama-sama puteri beliau yang berusia kira-kira lima atau enam tahun. Sifat ini yang menyesakkan perasaan para ibu bapa yang menjadi mahasitua ketika itu.

Setelah bersara, beberapa kali, kami bersama-sama dalam jerayawara KOMSAS. Saya menyampaikan ceramah puisi dan Datuk ialah Tokoh Undangan. Suatu pagi sebaik selesai solat Subuh, kami sama-sama ke dewan makan hotel tempat kami menginap.

Ketika melihat dewan makan masih gelap, Datuk menyoal, "Tak siap lagi? Nanti kita nak pergi jauh ke luar bandar..."

Saya pantas menjawab, "Belum, Datuk."

Sambil itu saya menegur seorang petugas yang baru sampai, " Last night, we informed you..."

Datuk: "Kenapa berbahasa Inggeris? Hanya kerana dia bukan bangsa kita?"

Saya terkelu beberapa detik. Degup jantung bergema pada subuh nan hening.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Surah Al-Ankabut (57) yang bermaksud, "Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)."

Tiada ulasan: