Sabtu, Julai 30, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Kesembilan: 30 Julai 2011

Bil.

Bahasa Inggeris

Bahasa Melayu

1.

birthday

hari lahir

2.

lifetime

tempoh hayat

3.

mock-up

replika olokan

4.

bank draft

draf bank

5.

voucher

baucar

Titipan Kesembilan

Baru-baru ini, saya ke hospital swasta baharu untuk pemeriksaan kesihatan. Terjumpa banyak kenalan di sana. Memanglah, ahli-ahli Persatuan Orang Pencen (POP) biasa bertemu di klinik dan hospital serta di surau dan masjid.

Seorang rakan berbual rancak dengan jururawat bukan Melayu. Beliau mempertikaikan hal doktor yang selalu lambat datang merawat pesakit. Perbualan mereka dalam bahasa Inggeris turut dikongsi oleh lebih 10 orang pesakit lain di situ.

Tiba-tiba, pintu ruang menunggu terkuak. Doktor melangkah segak. Jururawat bukan Melayu tersentak. "Ayoyo, panjang umur!"

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Kelapan: 30 Julai 2011

Bil.

Bahasa Inggeris

Bahasa Melayu

1.

check-in

daftar masuk

2.

check-out

daftar keluar

3.

waiter/waitress

pramusaji

4.

housekeeping

pengurusan diri

5.

invisible hand

dalang

Isnin, Julai 25, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ketujuh: 25 Julai 2011

Bil.

Bahasa Inggeris

Bahasa Melayu

1.

countdown

kira detik

2.

backdrop

latar pentas

3.

clearance sale

jualan perabis

4.

coffee-table book

buku mewah

5.

e-mail

e-mel/mel elektronik

Titipan Kelapan

Alhamdulillah, tadi sepetang mendengar ceramah Dasar Bahasa Peringkat Negeri Sembilan. Ceramah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato' Dr. Hassan Ahmad, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan. Majlis anjuran bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yang menghunjam di perdu sukma, "...setakat manakah kita di Malaysia telah berusaha untuk membina dan memajukan bahasa ini sebagai bahasa perpaduan, bahasa pembangunan dan kemajuan negara atau kita menganggap bahasa kebangsaan ini penting hanya sebagai bahasa 'simbolik' atau mungkin sebagai 'bahasa perpaduan sosial' sahaja tetapi tidak penting sebagai bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi, dan sebagai bahasa kemajuan ekonomi dan pendidikan negara..."

Sabtu, Julai 23, 2011

Titipan Ketujuh

Pagi ini, tiba-tiba sesuatu mengusik kenangan. Kira-kira 30 tahun yang lalu, saya turut serta dalam mesyuarat pembinaan muzium Zaba, di Batu Kikir. Seseorang mencadangkan 'Teratak Zaba'. Saya pula mencadangkan, 'Balai', 'Muzium', 'Gedung' atau 'Anjung' yang lebih bersifat tradisional, namun futuristik, proaktif dan optimis. Sekurang-kurangnya, kita ketika itu menyediakan ruang dan peluang untuk dimantapkan oleh generasi pelapis.

Mesyuarat akhirnya menerima cadangan pertama kerana 'Orang kita merendah diri, santun dan bersederhana.' Saya terkilan dan tergamam, sendirian.

Sekilas, imbauan itu mengujakan amat. Untuk lebih cemerlang, kita mesti membina perancangan bermasa hadapan dan berpandangan jauh, terbuka dan holistik...

Surah Ibrahim ayat 24 yang bermaksud 'Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu; kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan
cabang pucuknya menjulang ke langit.'

Jumaat, Julai 22, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Keenam: 22 Julai 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

lagenda

legenda

2.

murtabak

martabak

3.

lanskap

landskap

4.

lebel

label

5.

mastika/mustika

mestika

Titipan Keenam

Sebutir telur melahirkan seribu induk ayam, Sebutir padi memenuhi sebidang ladang.

Alhamdulillah, sesi 'Kreativiti dalam puisi kanak-kanak' di Pesta Buku Negeri Sembilan, (Khamis) ranum dan terukir kejap di kalbu. Mengapa?

Saya menjangkakan khalayaknya anak-anak tadika. Rupa-rupanya, pelajar Tingkatan I,II dan IV dari Jelebu dan Seremban. Waaah, segala bentuk kreativiti terselongkar. Mereka turut memestamu puisi 'Terima kasih' dan 'Si Merak' dengan penuh gaya hingga 'menjejaskan' lenggok tulen. Alahai... gamat dan meriah. Dan yang moleknya, mereka sempat menunjukkan bakat nan terpendam, mencipta dan mendendangkan puisi-puisi secara spontan. Separuh tugas saya terlerai. Terima kasih, sayang! Kalian memang berbakat. Teruskan usaha dengan gigih dan berkongsilah dengan rakan dan taulan, pengalaman nan sekelumit itu. Insya-Allah.


Isnin, Julai 18, 2011

Titipan Kelima

Anak yang tahu asal jadinya
Yang tahu membalas guna
Duduk tahu akan dirinya
Tegak tahu akan maruahnya.

Alhamdulillah, saya diizinkan Allah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Undang Musa Al-Haj, Kuala Klawang kerana ceramah 'Penulisan Kreatif Membentuk Jati Diri Pelajar' sebentar tadi. Perjalanan menempuh jalan Bukit Tangga yang baharu amat mengujakan. Gunung-ganang dan bukit-bukau menyajikan alam flora yang mengilhamkan. Udara harum menyegarkan.

Selain menyentuh faedah penulisan kreatif dan kesantunan bahasa, saya menunjuk contoh cara nyanyian puisi dan 'mestamu' (melodi sajak tanpa alat muzik). Sesi sejam setengah secara interaktif disulam pemberian cenderamata berupa buku dan wang tunai buat pelajar yang berdaya saing dan proaktif. Dan kebiasaan saya, saya memohon mereka memanggil saya 'mama' berdasarkan cerpen 'Mama' untuk KOMSAS tingkatan 2, tahun lalu. Langkah ini sebenarnya mewujudkan perasaan terlibat dan jelekit.

Ketika beredar, seorang pelajar lelaki yang segak, menghulurkan sesuatu. Pengakuan beliau yang amat telus menyebabkan air mataku titis ke dasar kalbu. Alhamdulillah!




Surah Az-Zumar ayat 9 yang membawa maksud, 'Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya, orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.'

Ahad, Julai 17, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Kelima: 17 Julai 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

pusat membeli-belah

pusat beli-belah

2.

maksima

maksimum

3.

minima

minimum

4.

optima

optimum

5.

definasi

definisi

Isnin, Julai 11, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Keempat: 11 Julai 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

analisa

analisis

2.

ambilalih

ambil alih

3.

baikpulih

baik pulih

4.

campurtangan

campur tangan

5.

gambarajah

gambar rajah

Titipan Keempat

Kasihilah kanak-kanak
merekalah zaman lampau kita,
hormatilah orang tua
merekalah masa hadapan kita.

Alhamdulillah, saya baru kembali dari Kuching, Sarawak dengan penuh semangat. Rasa teruja dan terilham bertingkahan di ruang sukma. Aura kotanya indah dan damai, sungainya tenang dan mengilhamkan, budaya dan krafnya seni dan mempesonakan serta Bengkel Penulisan Semula Cerita Rakyat Sarawak untuk Bacaan Kanak-kanak (anjuran DBP) menggugah minda dan perasaan.
Saya amat positif dan optimis. Generasi pelapis negara mampu kita bina dengan penuh dedikasi, berilmu dan bertakwa, insya-Allah. Terima kasih dan tahniah DBP dan peserta yang budiman.

Surah Al-Ahqaaf ayat 15 yang bermaksud, "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Dikau kurniakan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku; dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redai. Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya,
aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam
(yang tunduk patuh kepada-Mu.)
"


Selasa, Julai 05, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ketiga: 5 Julai 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

cop

cap

2.

mee

mi

3.

satay

sate

4.

taugeh

tauge

5.

taukeh

tauke

Titipan Ketiga

Tuah belalang pada ketingnya
Tuah orang pada budinya


Alhamdulillah, pagi semalam saya ke Sekolah Menengah Seri Sendayan. Aura dan aroma desa nan tenang dan mengilhamkan mengimbau pengalaman dan kenangan lampau. Ketika menikmati seni hiasan taman nan bersih, mentari jingga pudar jam 7.40 mula menebar sinar. Saya terasa asyik menikmati keindahan alam seputar. Dari bahagian sekolah yang di atas bukit, kampung yang masih berselimut kabut lembut amat melekakan. Ruang udara tetap bergema dengan bunyi pesawat bertelingkah dengan siulan unggas.

Tiba-tiba, "Assalamualaikum, Cikgu?" Seorang petugas wanita yang berpakaian kemas menyapa, santun. Sebatang penyapu lidi yang diberi tangkai panjang, di dalam gengamannya.
Saya terkelu dan lambat membalas ucapan beliau. Oleh sebab terasa malu sendiri, saya tergagap-gagap menyoal balik, " Puan, tak musim buah-buahan di sini?" Dan bermulalah perbualan yang mesra antara kami. Terasa kami sudah berkenalan bertahun-tahun lalu.

Suasana intim dan mesra terbawa-bawa ke dewan kuliah. Sesi 'Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul' pantas amat. Guru dan pelajar, sopan, aktif dan sungguh berminat. Isu 'bahasa kepada pokok bunga ros dan tanaman lain' turut menarik perhatian. Aduhai, kaki terasa berat ketika saya melangkah pulang...

Kini alhamdulillah, genaplah lima hari usia Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul. Sekalung tahniah buat teman-teman yang mewujudkan Rafik Masjid PJ. (Masjid Taman Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan). Rafik Masjid PJ wadah interaktif untuk dieksploitasi oleh semua.

Mudah-mudahan, anakanda yang muda belia dapatlah memanfaatkan pelbagai program yang disediakan dengan sebaik-baiknya.

Mudah-mudahan, kesalahan umum pada papan tanda, gegantung, spanduk, latar pentas, lembaran/buku program, laporan, minit mensyuarat dan apa-apa jua penyataan bahasa, dapat kita minimumkan. Insya-Allah.

Daripada Aisyah r.h.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
Menghubungkan silaturahim, berakhlak mulia dan baik kejiranan
boleh memakmurkan negeri dan memanjangkan umur."

Ahad, Julai 03, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Kedua: 3 Julai 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

ampangan

empangan

2.

cendera mata

cenderamata

3.

durhaka

derhaka

4.

hajjah

hajah

5.

juru acara

juruacara

Jumaat, Julai 01, 2011

Titipan Kedua

Nan kurik kundi,
Nan merah saga;
Nan baik budi,
Nan indah bahasa.

Kira-kira dua minggu lalu, saya ke Negeri FM untuk rakaman Sari Bahasa bersama-sama penerbitnya Puan Fazidah Mohd.Yusof. Kompleks Penyiaran bersebelahan SDAR. Kedua-dua institusi ini tersergam indah dan gah di atas bukit di Sungai Gadut.
Ketika kereta kami berhenti di pintu masuk, seorang pengawal yang berpakaian segak, melambai. Sebaik cermin tingkap anakanda saya terbuka, tangannya dihulurkan sambil memberi salam.
"Tuan hendak ke mana? Tuan hendak berjumpa dengan siapa?" Pegawai tersebut santun menyapa.
"Puan Fazidah, untuk rakaman Sari Bahasa,"
Beliau menghulurkan buku rekod kemasukan pelawat, penuh hormat.
Setelah selesai, buku itu saya serahkan kembali dengan ucapan terima kasih.
"Terima kasih kembali, tuan. Silakan. Assalamualaikum!"
Aduhai...kompleks yang molek itu berseri dan mewangi di dalam sanubari!