Rabu, Ogos 31, 2011

Titipan Ke-13

Al-Fatihah...Sejam yang lalu, saya menerima perkhabaran bahawa 'ayahanda' yang juga suri teladan saya sudah diundang kembali ke pangkuan-Nya. Mata mula berkaca dan imbauan darihal Allahyarham Datuk Hassan Haji Ahmad pun bergema.

Saya berpeluang menyambung pelajaran setelah mempunyai tiga orang putera. Semua pensyarah di Kurus Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Universiti Malaya merupakan sahabat dan kenalan rapat kami suami isteri. Pada tahun pertama, 1979, beliau yang juga Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, ialah pensyarah jemputan kami. Kuliah Pengurusan Penerbitan yang dikendalikannya, amat menarik. Beliau ke kuliah pada sebelah petang, kadang-kadang bersama-sama puteri beliau yang berusia kira-kira lima atau enam tahun. Sifat ini yang menyesakkan perasaan para ibu bapa yang menjadi mahasitua ketika itu.

Setelah bersara, beberapa kali, kami bersama-sama dalam jerayawara KOMSAS. Saya menyampaikan ceramah puisi dan Datuk ialah Tokoh Undangan. Suatu pagi sebaik selesai solat Subuh, kami sama-sama ke dewan makan hotel tempat kami menginap.

Ketika melihat dewan makan masih gelap, Datuk menyoal, "Tak siap lagi? Nanti kita nak pergi jauh ke luar bandar..."

Saya pantas menjawab, "Belum, Datuk."

Sambil itu saya menegur seorang petugas yang baru sampai, " Last night, we informed you..."

Datuk: "Kenapa berbahasa Inggeris? Hanya kerana dia bukan bangsa kita?"

Saya terkelu beberapa detik. Degup jantung bergema pada subuh nan hening.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Surah Al-Ankabut (57) yang bermaksud, "Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)."

Jumaat, Ogos 26, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-12: 26 Ogos 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

otomobil

automobil

2.

oditorium

auditorium

3.

olah raga

olahraga

4.

protin

protein

5.

perlantikan

pelantikan

Titipan Ke-12

Perbualan dua orang sahabat cilik di beranda sebuah masjid menggugah fikiran dan perasaan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Anak Pertama: Wah, banyak nanti aku dapat duit raya. Ayah, Umi dan Nenek aku masing-masing beri seringgit sehari.

Anak Kedua: Aku pun macam tu juga. Emm, kau nak beli apa?

Anak Pertama: Aku nak belikan buku untuk Umi aku. Hari lahirnya pada Raya kedua! Kau nak beli apa?

Anak Kedua: Aku nak sedekahkan, nanti.

Anak Pertama: Kat siapa pulak?

Anak Kedua: Dah dapt duit tu, aku bawalah bila-bila jalan raya. Kat Mak Long, Mak Ngah dan Mak Tih, atau saudara-saudara lain, aku berilah.

Anak Pertama: Ehh, duit kita tu bukanlah banyak sangat...

Anak Kedua: Setiap sorang dapat seringgit pun tak apa. Yang penting kita ikhlas. Ustaz dalam tazkirah tu tadi cakap, rezeki tu milik Allah. Kita pinjam, je. Kau nak pahala akhirat nanti?

Anak Pertama: Nak, nak, nak. Lagi pun, masa puasa kita buat baik. Masa Raya, lagi baik punya...

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kepada keluarga, kerabat, sahabat dan semua yang sempat singgah di sini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya. Insya-Allah, Ramadan ini memberi kekuatan untuk kita meneruskan dan meningkatkan ibadah dan amalan secara tekal sehingga ke akhir kehidupan. Semoga Allah sentiasa melimpahkan petunjuk dan rahmat-Nya kepada kita. Amin.

Surah Luqman, ayat 16 yang bermaksud: Luqman menasihti anaknya dengan berkata, "Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) walaupun sebesar biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana sesungguhnya Allah maha halus pengetahuan-Nya,lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi."

Selasa, Ogos 16, 2011

Titipan Ke-11

Setelah usai solat Tarawikh pada malam Ramadan yang pertama, seseorang menegur, "Bila Cikgu ke IKIM? Saya suka dengar program tu."

Saya terpinga-pinga sesaat, sambil cuba memastikan soalan beliau. Lama baru saya menjawab, "Dua tiga bulan sekali...ke RTM." Sangkaan saya bekas anak murid saya itu ingin tahu hal Sari Bahasa di Negeri FM.

Setelah 15 hari berpuasa, di tempat dan suasana yang sama, seseorang menanyakan hal yang sama lagi. Sahabat saya itu mengulang soalannya apabila melihat saya tercengang-cengang sambil menelan wajahnya.

"OOOh, di IKIM tu Dr. Mohaya Muhamad. Bukannya saya."

Ada ketikanya, dunia terasa kecil sangat. Ada saatnya, bumi Allah ini luas amat...

Surah Ali-Imran ayat 8 yang bermaksud, 'Mereka berdoa dengan berkata, " Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat-Mu. Sesungguhnya, Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya."

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-11: 16 Ogos 2011

Bil.

Tempoh Masa

Penamaan Tempoh

1.

1.00 a.m. - 11.59 a.m.

Pagi

2.

12.00 p.m. - 1.59 p.m.

Tengah hari

3.

2.00 p.m. - 6.59 p.m.

Petang

4.

7.00 p.m - 11.59 p.m

Malam

5.

12.00 a.m. - 12.59 a.m.

Tengah malam

Ahad, Ogos 07, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-10: 8 Ogos 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

insuran

insurans

2.

merbahaya

berbahaya

3.

sekelian

sekalian

4.

perlaksanaan

pelaksaaan

5.

mengenengahkan

mengetengahkan

Titipan ke-10

Saya berasa teruja amat ketika Bahagian Protokol menjemput wakil PEN untuk menerima Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2011, pada hujung bulan lepas. Pasti ada perkara baharu yang akan menambah pengalaman. PEN menerima sehelai Jalur Gemilang dalam majlis yang bersejarah! Tambahan pula semangat 'pahlawan' tetap semarak di lopak jiwa. Maklumlah, saya anak bekas Sarjan Polis.

Apabila melihat Menteri Besar memegang Jalur Gemilang yang telah terikat kemas pada batang kayu bulat, aduhai saya terkelu sedetik. Namun, cabaran untuk membawanya pulang dan memasangnya di pejabat PEN, segera terlerai. Pasti ada manfaatnya, bisik hati.

Ketika cucu-cucu datang untuk berbuka puasa, mereka ghairah menyoal itu, ini. Kibarannya serancak perbincangan dan hujah mereka. Menyelinap rasa bangga menjadi nenek mereka...

Dan malam ini, alhamdulillah genaplah seminggu kita berpuasa. Anak-anak di masjid kian pandai membawa diri sejak hari pertama lagi. Mereka sama-sama bertahlil, berbuka dan bertarawih. Mereka belajar daripada persekitaran yang kondusif. Suri teladan mereka contohi secara beransur-ansur. Mereka memerlukan peneguhan tunjuk ajar dan bimbingan seiring kasih sayang yang tulus dan tekal. Pendidikan madrasah Ramadan, biarlah sebati di dalam diri, insya-Allah!


Menurut Abu Daud, Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya agar mengamalkan doa ini apabila menghadapi kesukaran. "Ya Allah. Rahmat-Mu yang sentiasa aku harapkan, kerana itu janganlah Engkau serahkan urusanku kepada diriku sendiri, meskipun sekelip mata. Perbaikilah urusanku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau."