Selasa, Mac 27, 2012

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Puisi Kanak-kanak (7 April 2012)


Wacana Ilmu ~ Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Puisi Kanak-kanak
anjuran bersama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS)
di Kompleks JKKNNS, pada 7 April 2012 (Sabtu) 8.30 pagi hingga 2.00 petang.

Peserta: pendidik, ibu bapa, penulis, penuntut, peminat dan sesiapa sahaja.
Pengisian: Falsafah dalam Puisi Kanak-kanak oleh Dr. Amida Abdulhamid (Anis)
dan Puan Hajah Mahaya Mohd.Yassin (berdasarkan Ayahku Pulang, DBP 2011).

Penyertaan: Percuma. Sila sahkan kehadiran dengan menghubungi
Datin Sabarriah; 019-254 3476/ sabarshukur@yahoo.com atau Mahaya 012-3083965/mahaya_es@hotmail.com
sebelum 30 Mac 2012.


~Pariwarta~
Seseorang bertanya, "Mengapa puisi kanak-kanak?"
MMY: "Puisi amat kreatif. Melalui puisi kita dapat menyelongkar dan memugar minat dan potensi kanak-kanak ke arah matlamat yang bermanfaat, seperti yang kita hasratkan."
"Tapi, saya bukan guru,"
MMY: "Sesiapa sahaja; guru, ibu bapa, ahli keluarga, pelajar, pentadbir, penulis, pengukir, peminat, pengkritik, penyiar, pemerhati dan pengongsi ilmu, diundang sama. Bukankah kita semua berbakat? Bukankah puisi itu terapi?"
"Apa faedah lain?"
MMY: "Dr. Amida Abdulhamid memaklumkan melalui sistem pesanan ringkasnya sebentar tadi, "...tak sangka puisi kanak-kanak sarat falsafahnya," Jom kita dengar dan hayati!"
"Boleh juga, manalah tahu..."
MMY: "Yakinlah, kaedahnya amat mudah, menggugah perasaan dan fikiran, nostalgik dan menarik, insya-Allah. Allah jua yang mempermudahkan segala-galanya. Terima kasih."

Ahad, Mac 11, 2012

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri ke-20: 11 Mac 2012

Bil.

Perkataan

Makna

1.

tsunami

ombak laut yang besar dan ganas yang disebabkan oleh gempa bumi atau letupan gunung berapi di bawah laut

2.

susyi

makanan Jepun berupa nasi bersalut dan diletakkan lauk, terutama ikan mentah di atas atau di dalamnya

3.

sumo

perlawanan gusti cara Jepun

4.

arigato gozaimasu

terima kasih

5.

youkoso

selamat datang

Titipan ke-20

Alhamdulillah, hari ini terdetik untuk kembali bersuara di sini. Suara hati bergema ketika mengenang detik bersejarah yang terlakar dalam kehidupan kami, genap setahun yang lalu.

Pada tahun 2011, saya kerap ke Jepun, menjengok-jengok anak yang bongsu, Adib Syukri. Dapatlah anak-anak yang lain bersama-sama keluarga mereka turut berpeluang melancong ke sana. Setelah tamat pengajiannya pada pertengahan Februari, kami kembali ke Malaysia. Adib berjanji dengan sahabatnya, Muiz untuk bersama-sama melancong ke serata pelosok Jepun hingga 20 Mac. Saya dan anak ketiga sekeluarga yang belum berpeluang ke sana berhajat untuk meraikan hari konvokesyennya, pada tarikh tersebut. Kami tempah tiket kapal terbang pergi balik dan hotel di dua bandar, dua bulan sebelum itu.

Dalam jam 2.15 petang Jumaat 10 Mac, Nisah menelefon menanyakan di mana Adib ketika itu. Dengan yakin saya menjawab, "Di Tokyo. 9 Mac semasa kita di KUIM, beliau memberitahu masih di Tokyo."
Nisah terus mendesak, "Lihatlah CNN sekarang, kak!"

Subhanallah, CNN memaparkan Jepun sedang dilanda tsunami yang amat dasyat. Saya segera menelefon Adib, tiada jawapan. Telefon pula sahabat-sahabatnya, termasuk Muiz, juga tiada jawapan!

Allah yang Maha Tahu...Saya sudah tenggelam dalam air mata sambil menyeru Dia yang Maha Berkuasa. Saya menelefon anak-anak yang lain, jiran dan kawan-kawan setaman. Sebentar kemudian, saya tidak lagi bersendirian. Ada jiran dan sahabat yang sudi menemankan sambil membawa buah tangan, doa keselamatan.

Jumaat malam, Sabtu dan Sabtu malam terasa berengsot bagai siput. Anak, menantu, cucu-cucu, jiran dan saudara cuba menenangkan hati yang luluh. Pegawai kedutaan memaklumkan, "Ada nombor Adib yang lain? Namanya ada dalam senarai orang yang hilang!" Sahabatnya di Tokyo menelefon, "Memang sah, Adib dan Muiz melancong ke Sendai makcik,"

Ahad, dalam jam 10. 30 pagi, Adib menelefon. Allahuakhbar! Alhamdulillah! Saya dihidupkan-Nya kembali! Mereka ke Sendai untuk menikmati pantainya yang landai mempesonakan, selain hasil pertanian, terutama buah-buahan, yang segar dan menggiurkan. Ketika kejadian mereka di Muzium Sendai dan memang merasakan detik-detk cemas tsunami tersebut. Di mana-mana Allah menguji kita.

Surat al-A'raaf (196) " Sesungguhnya Pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan Kitab (al-Quran) dan Dialah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan."

Sabtu, November 26, 2011

Titipan Ke-19

Salam Maal Hijrah. Alhamdulillah, kita terus melangkah berpaksikan hukum-hukum Allah, insya-Allah. Surah Ali Imran ayat 102 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam."

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-19: 26 November 2011

Bil.

Perkataan

Makna

1.

kontradiksi

perihal berlawanan atau bertentangan

2.

kontemporari

semasa

3.

semayam

duduk di atas takhta

4.

mapan

mantap

5.

mampan

mampu mengekalkan pencapaian

Khamis, November 17, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-18: 17 November 2011

Bil.

Perkataan

Makna

1.

muraqabah

amalan menjaga ingatan hati semata-mata kepada Allah

2.

murba

biasa sahaja, jelata

3.

murabbi

pendidik, pembimbing

4.

narwastu

bau-bauan yang harum

5.

piara

pelihara, bela

Titipan Ke-18


Bengkel Penulisan Buku Kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran (30 September hingga 2 Oktober 1977) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Bengkel Penulisan Buku Kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) pada 12 hingga 13 November 2011 di PPA NS.

Surah At-Taqhaabun (15) dan surah Al-Anfaal (28) yang bermaksud 'Sesungguhnya, harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.'

Khamis, November 10, 2011

Titipan Ke-17

Pada 27 November 2011, iaitu 16 hari lagi kita akan melangkah ke era baharu, 1 Muharam1433. Apakah matlamat dan perancangan yang telah kita fikir-fikirkan untuk meningkatkan iman, takwa dan amalan kita?

Dalam mengutip manik waktu yang masih tersisa ini, suara hati saya bergema...

Surah Ali-Imran ayat 8 yang bermaksud, ' Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.'

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-17: 10 November 2011

Bil.

Perkataan

Makna

1.

tunawicara

bisu

2.

tunanetra

buta

3.

tunakerna

pekak

4.

tunakarya

menganggur

5.

tunapidana

penjara

Isnin, Oktober 17, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-16: 17 Oktober 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

profail

profil

2.

murtabak

martabak

3.

pendita

pendita

4.

reket

raket

5.

sabsidi

subsidi

Titipan Ke-16



Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, maka bersualah Mahaya Mohd.Yassin dengan Prof. Dr. Muhaya Mohamad- Ceramah Sehari Wanita Muslimah: Alternatif Terkini. Mahaya sebagai peserta dan Prof. Dr. Muhaya (bersama-sama Ustaz Fauwaz Fadzil dan Catrion Ross) sebagai penceramah. (9 Oktober 2011, di PPAS, Shah Alam) Masing-masing bergerak dalam bidang yang berlainan, namun satu haluan, insya-Allah.

Mudah-mudahan selepas ini, tiada yang tersilap lagi...

Surah Al-Kahfi ayat 10 yang bermaksud, 'Wahai Tuhan kami!
Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta
pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami'.

Isnin, September 26, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-15: 26 September 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

pragawati

peragawati

2.

raksaksa

raksasa

3.

disel

diesel

4.

kadang kala

kadangkala

5.

tanahair

tanah air

Ahad, September 25, 2011

Titipan Ke-15

Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan (23-25 September 2011, Jumaat - Ahad)

Perkampungan Penulis Muda
106 pelajar pelbagai bangsa
SMK DUAM, Johol, tuan rumahnya
Mahaya, Nisah dan Azzah penceramahnya.

Peserta aktif berinteraksi meneroka
Lelaki perempuan berbakat pula
Pengisian padat amat berguna
Untuk kini dan hari muka.

Solat berjemaah dipatuhi semua
Bersenam pagi cergas dan ceria
Kebersihan seputar tanggungjawab bersama
Setia mematuhi ketepatan masa.

Puisi, cerpen dan novel dibicara
Ceramah, bengkel dan tunjuk cara
Deklamasi, mestamu dipelajari juga
Bakal penulis lebih teruja.

SMK DUAM amat istimewa
Dandanan landskapnya mempesona
Pemenang Anugerah Lestari Sungai Negara
Segar memukau flora, aroma dan aura.

Di pinggir belukar mengalir sungai
Ujana disusur melalui denai
Di sinilah ilham dicerna dicanai
Tergugah minda perasaan permai.

Tiga hari dua malam berkampung
Ilmu dan kemahiran banyak dihimpun
Setelah usai pengalaman disusun
Garapan karya bermanfaat dan santun.

Anakanda fahamilah tugas dengan sedar
Wawasan dan harapan usah tersasar
Usaha dinilai kecil dan besar
Oleh Allah Yang Maha Perkasa.

Ilmu yang diperoleh dikongsi-konsikan
Dengan keluarga, masyarakat dan rakan
Cita-cita dan hasrat terus perjuangkan
Bersyukur menikmati kejayaan cemerlang.

Sebagi penghargaan sebuah titipan
Rasa kesyukuran yang tidak terungkapkan
Penghargaan kepada JPN dan SMK DUAM
DBP, PEN, petugas dan anakanda tersayang.


Mama Mahaya Mohd.Yassin
7.55 petang, 25 September 2011 (Ahad)

Rabu, September 14, 2011

Titipan ke-14

Alhamdulillah, tengah hari ini terlerai kepenatan mengejar dua mesyuarat kerana kepastian yang menggembirakan banyak pihak.

Pertama, Program Kembara Buku 1 Malaysia Peringkat Negeri Sembilan pada bulan hadapan- Dato' Dr. Sheikh Muzaphar Shukor Al-Masrie, Angkasawan Negara pasti menjadi tamu istimewa dalam program tersebut.

Kedua, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKK NS), Tuan Haji Adnan, membenarkan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) sama-sama memanfaatkan bilik-bilik seminar di JKK NS untuk kegiatan PEN. Justeru, kegiatan-kegiatan PEN terutama Umbara Sastera, akan berlangsung di sana selepas ini, insya-Allah.

Ketiga, JKK NS, DBP Wilayah Tengah dan PEN berharsat menganjurkan Syarahan Za'ba secara bulanan di JKK NS mulai tahun hadapan.

Alhamdulillah, semoga kegiatan mengangkasakan bahasa dan sastera di Negeri Sembilan terus semarak dan semerbak hendaknya. Amin. Terima kasih kepada semua!

Surah Hud ayat 115 yang bermaksud, "Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah) kerana sesungguhnyaAllah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan."

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-14: 14 September 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

pekej

pakej

2.

rebet

rebat

3.

lojistik

logistik

4.

plan

pelan

5.

pantomin

pantomim

Sabtu, September 03, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-13: 3 September 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

DiRaja

Diraja

2.

prosidur

prosedur

3.

istirehat

istirahat

4.

stesyen

stesen

5.

ko-kurikulum

kokurikulum

Rabu, Ogos 31, 2011

Titipan Ke-13

Al-Fatihah...Sejam yang lalu, saya menerima perkhabaran bahawa 'ayahanda' yang juga suri teladan saya sudah diundang kembali ke pangkuan-Nya. Mata mula berkaca dan imbauan darihal Allahyarham Datuk Hassan Haji Ahmad pun bergema.

Saya berpeluang menyambung pelajaran setelah mempunyai tiga orang putera. Semua pensyarah di Kurus Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Universiti Malaya merupakan sahabat dan kenalan rapat kami suami isteri. Pada tahun pertama, 1979, beliau yang juga Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, ialah pensyarah jemputan kami. Kuliah Pengurusan Penerbitan yang dikendalikannya, amat menarik. Beliau ke kuliah pada sebelah petang, kadang-kadang bersama-sama puteri beliau yang berusia kira-kira lima atau enam tahun. Sifat ini yang menyesakkan perasaan para ibu bapa yang menjadi mahasitua ketika itu.

Setelah bersara, beberapa kali, kami bersama-sama dalam jerayawara KOMSAS. Saya menyampaikan ceramah puisi dan Datuk ialah Tokoh Undangan. Suatu pagi sebaik selesai solat Subuh, kami sama-sama ke dewan makan hotel tempat kami menginap.

Ketika melihat dewan makan masih gelap, Datuk menyoal, "Tak siap lagi? Nanti kita nak pergi jauh ke luar bandar..."

Saya pantas menjawab, "Belum, Datuk."

Sambil itu saya menegur seorang petugas yang baru sampai, " Last night, we informed you..."

Datuk: "Kenapa berbahasa Inggeris? Hanya kerana dia bukan bangsa kita?"

Saya terkelu beberapa detik. Degup jantung bergema pada subuh nan hening.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Surah Al-Ankabut (57) yang bermaksud, "Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)."

Jumaat, Ogos 26, 2011

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul

Siri Ke-12: 26 Ogos 2011

Bil.

Salah

Betul

1.

otomobil

automobil

2.

oditorium

auditorium

3.

olah raga

olahraga

4.

protin

protein

5.

perlantikan

pelantikan

Titipan Ke-12

Perbualan dua orang sahabat cilik di beranda sebuah masjid menggugah fikiran dan perasaan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Anak Pertama: Wah, banyak nanti aku dapat duit raya. Ayah, Umi dan Nenek aku masing-masing beri seringgit sehari.

Anak Kedua: Aku pun macam tu juga. Emm, kau nak beli apa?

Anak Pertama: Aku nak belikan buku untuk Umi aku. Hari lahirnya pada Raya kedua! Kau nak beli apa?

Anak Kedua: Aku nak sedekahkan, nanti.

Anak Pertama: Kat siapa pulak?

Anak Kedua: Dah dapt duit tu, aku bawalah bila-bila jalan raya. Kat Mak Long, Mak Ngah dan Mak Tih, atau saudara-saudara lain, aku berilah.

Anak Pertama: Ehh, duit kita tu bukanlah banyak sangat...

Anak Kedua: Setiap sorang dapat seringgit pun tak apa. Yang penting kita ikhlas. Ustaz dalam tazkirah tu tadi cakap, rezeki tu milik Allah. Kita pinjam, je. Kau nak pahala akhirat nanti?

Anak Pertama: Nak, nak, nak. Lagi pun, masa puasa kita buat baik. Masa Raya, lagi baik punya...

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kepada keluarga, kerabat, sahabat dan semua yang sempat singgah di sini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya. Insya-Allah, Ramadan ini memberi kekuatan untuk kita meneruskan dan meningkatkan ibadah dan amalan secara tekal sehingga ke akhir kehidupan. Semoga Allah sentiasa melimpahkan petunjuk dan rahmat-Nya kepada kita. Amin.

Surah Luqman, ayat 16 yang bermaksud: Luqman menasihti anaknya dengan berkata, "Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) walaupun sebesar biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana sesungguhnya Allah maha halus pengetahuan-Nya,lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi."

Selasa, Ogos 16, 2011

Titipan Ke-11

Setelah usai solat Tarawikh pada malam Ramadan yang pertama, seseorang menegur, "Bila Cikgu ke IKIM? Saya suka dengar program tu."

Saya terpinga-pinga sesaat, sambil cuba memastikan soalan beliau. Lama baru saya menjawab, "Dua tiga bulan sekali...ke RTM." Sangkaan saya bekas anak murid saya itu ingin tahu hal Sari Bahasa di Negeri FM.

Setelah 15 hari berpuasa, di tempat dan suasana yang sama, seseorang menanyakan hal yang sama lagi. Sahabat saya itu mengulang soalannya apabila melihat saya tercengang-cengang sambil menelan wajahnya.

"OOOh, di IKIM tu Dr. Mohaya Muhamad. Bukannya saya."

Ada ketikanya, dunia terasa kecil sangat. Ada saatnya, bumi Allah ini luas amat...

Surah Ali-Imran ayat 8 yang bermaksud, 'Mereka berdoa dengan berkata, " Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat-Mu. Sesungguhnya, Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya."